Kanak-kanak lebih terdedah jangkitan di dalam rumah? - Utusan Malaysia

Kanak-kanak lebih terdedah jangkitan di dalam rumah?

KAJIAN mendapati sabun dan air lebih lengkap untuk membuang lebih banyak kuman daripada tangan seseorang berbanding cecair pembasmi kuman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEPANJANG tempoh pandemik Covid-19, kanak-kanak kebanyakannya terkurung di rumah dan akibatnya kurang terdedah kepada bakteria dan virus ‘biasa.’ Ini menyebabkan sistem imun kanak-kanak berkembang dengan lemah.

Mulai Mac lalu, kanak-kanak kembali ke sekolah dan menjalani aktiviti sukan. Ini menyebabkan ramai kanak-kanak mengalami influenza, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) serta jangkitan paru-paru.

Pada masa ini, tiada kajian sains yang mengesahkan anak-anak kita lebih mudah terdedah kepada jangkitan penyakit selepas pandemik.

Sebenarnya, antara punca kanak-kanak mudah dijangkiti penyakit selepas wabak Covid-19 adalah kerana golongan itu mengambil lebih banyak diet tidak sihat seperti makanan ringan ketika terkurung di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tabiat itu menyebabkan berlaku obesiti dan kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak. Selain itu, kurang aktiviti fizikal sepanjang PKP menyebabkan obesiti kanak-kanak meningkat dan mereka mudah dijangkiti penyakit.

Satu lagi masalah utama, sepanjang tempoh PKP ramai ibu bapa tidak mengikut jadual ditetapkan untuk imunisasi kanak-kanak bagi penyakit selain daripada Covid-19. Imunisasi amat penting untuk mencegah penyakit berjangkit tertentu. Satu lagi isu penting yang perlu diambil serius ialah kesihatan mental kanak-kanak dan penjaga.

Obses

Kajian menunjukkan penderaan, cabaran rumah tangga dan pengabaian dihadapi kanak-kanak dan penjaga bukan sahaja menyebabkan masalah kesihatan mental lebih teruk, tetapi juga penyakit jantung, diabetes, paru-paru obstruktif kronik, penyakit hati dan kanser.

Dalam pada itu, jika penjaga mengesyaki anak anda mengalami gangguan imun, kita dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat profesional. Antara tanda-tanda kanak-kanak mengalami gangguan imun termasuk pneumonia yang kerap dan berulang, bronkitis, jangkitan sinus, jangkitan telinga, meningitis dan jangkitan kulit.

Tanda-tanda lain ialah keradangan dan jangkitan organ dalaman, gangguan darah seperti kiraan platelet rendah, masalah penghadaman, kekejangan, hilang selera makan, loya dan cirit-birit.

Dalam pada itu, ada sesetengah ibu bapa terlalu obses untuk mewujudkan persekitaran bebas kuman termasuk melarang anak-anak untuk bermain atau menyentuh apa-apa yang disyaki telah tercemar.

Terlalu melindungi anak-anak kita daripada kuman bukanlah satu tindakan yang betul. Oleh itu, cara terbaik adalah mengimbangi antara persekitaran yang bersih dan persekitaran kurang bersih.

Sesetengah ibu bapa mungkin tertanya-tanya sama ada mencuci tangan atau sanitasi adalah cara yang lebih baik untuk mencegah penyebaran kuman.

Kajian menunjukkan sabun dan air lebih lengkap untuk membuang lebih banyak kuman daripada tangan seseorang berbanding cecair pembasmi kuman. – UTUSAN

PENSYARAH KESIHATAN
Subang Jaya, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya