PETALING JAYA: Prestasi perdagangan luar Malaysia mencatatkan pencapaian luar biasa pada April 2026 apabila meningkat 28.6 peratus tahun ke tahun kepada RM336.73 bilion, sekali gus merupakan kadar terpantas dalam tempoh 43 bulan sejak September 2022.
Eksport negara meneruskan momentum pertumbuhan bagi bulan ke-10 berturut-turut selepas melonjak 36.9 peratus kepada RM182.74 bilion pada April 2026, sekali gus merekodkan nilai eksport bulanan tertinggi dalam sejarah negara.
Pencapaian luar biasa itu menyaksikan nilai eksport melonjak hampir RM30 bilion berbanding rekod tertinggi sebelum ini yang dicatatkan pada Disember 2025 iaitu sebanyak RM152.77 bilion.
Lonjakan eksport yang diterajui oleh sektor barangan elektrik dan elektronik (E&E) itu turut memacu keseluruhan perdagangan luar Malaysia berkembang 28.6 peratus tahun ke tahun kepada RM336.73 bilion, yang merupakan kadar pertumbuhan terpantas dalam tempoh 43 bulan sejak September 2022.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataannya berkata, pertumbuhan drastik eksport tersebut didorong oleh permintaan pasaran global yang sangat kukuh terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan elektronik automotif.
“Barangan E&E melonjak hampir RM28 bilion ke paras tertinggi baharu. Pengembangan ini turut diperkukuh oleh kenaikan ketara eksport keluaran petroleum, barangan perkilangan logam, selain eksport barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan yang masing-masing merekodkan nilai bulanan tertinggi setakat ini.
“Dari segi pasaran, eksport ke semua rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU) mencatatkan pertumbuhan kukuh dua digit, dengan pasaran ASEAN, Taiwan dan EU mencecah rekod tertinggi setakat ini,” katanya.
Sementara itu, import negara pada April turut berkembang 20 peratus kepada RM153.99 bilion, manakala lebihan dagangan mencatatkan RM28.75 bilion, sekali gus mengekalkan rekod lebihan bagi bulan ke-72 berturut-turut sejak Mei 2020.
Bagi tempoh empat bulan pertama 2026, prestasi perdagangan negara melepasi paras RM1 trilion sebulan lebih awal berbanding tahun sebelumnya apabila meningkat 15.3 peratus kepada RM1.127 trilion.
Eksport bagi tempoh tersebut menokok 19 peratus kepada RM609.31 bilion manakala import naik 11.1 peratus kepada RM153.99 bilion, sekali gus menyaksikan lebihan dagangan meningkat dua kali ganda kepada RM91.92 bilion.
Pencapaian ini menyokong data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara mengukuh 5.4 peratus pada suku pertama 2026, selain tindakan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak naik unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 4.7 peratus bagi tahun ini.
Menurut MITI, walaupun berdepan ketidaktentuan global berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang menjejaskan kos logistik dan rantaian bekalan, pihaknya bersama MATRADE akan kekal proaktif dalam memantau pasaran bagi memastikan momentum eksport ini berterusan. – UTUSAN










