fbpx

Air payau jadi sumber bekalan air

PERMINTAAN air bersih semakin meningkat setiap tahun kerana pertambahan jumlah penduduk. – GAMBAR HIASAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

SAUDARA PENGARANG,

BEKALAN air merupakan sumber asas yang diperlukan dan berperanan penting dalam menyokong komuniti dan kehidupan harian bagi kegunaan domestik.

Ia juga mustahak dalam sektor bukan domestik yang merangkumi penggunaan komersial, industri dan pertanian. Menurut dapatan awal Jabatan Perangkaan Malaysia bagi 2021, sebanyak 2,186 juta liter (sektor domestik) dan 1,362 juta liter (sektor bukan domestik) air bermeter digunakan di Selangor.

Malah, trend menunjukkan peningkatan dari tahun-tahun sebelumnya menggambarkan kepentingan penggunaan air hasil penambahan populasi dan kualiti hidup penduduk.

Namun, sumber air yang bakal dimanfaatkan perlu melalui proses rawatan bagi menepati ciri-ciri air mengikut piawaian yang telah ditetapkan. Kepelbagaian teknologi rawatan air sedia ada bergantung kepada tujuan kegunaan dan kesesuaian di sesebuah kawasan.

Bukan itu sahaja, pemilihan teknologi mesra alam dan sesuai juga penting untuk memastikan air dirawat secara lestari dan tidak memberi kesan buruk terhadap alam sekitar.

Hal ini kerana penggunaan bahan kimia dalam rawatan air konvensional memerlukan rawatan tambahan sebelum bahan buangan disingkirkan memandangkan ia berpotensi menjadi sumber pencemaran jika tidak dirawat.

Antara teknologi rawatan air moden adalah melalui penggunaan membran osmosis berbalik (RO) dalam penyahgaraman air payau menggunakan konsep pemisahan secara fizikal bagi menapis partikel yang tidak diperlukan berdasarkan saiz liang membran.

Kelebihan teknologi ini berbanding teknologi konvensional adalah kecekapan dalam merawat air, penjimatan kos peralatan dan penggunaan tenaga yang lebih efisien.

Jika dilihat dari sudut teknikal, teknologi membran mempunyai banyak kelebihan bagi menapis air payau, namun perlu dilakukan kajian lanjut sama ada ia sistem yang mampan dan tidak memberi kesan buruk kepada alam sekitar. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MARLIA MOHD. HANAFIAH & KHALISAH KHAIRINA RAZMAN, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN