Liga Elit DUN Kelantan: Kerajaan Negeri jalin kerjasama dengan

Liga Elit DUN Kelantan: Kerajaan Negeri jalin kerjasama dengan polis

ZAMAKHSHARI Muhamad menyempurnakan pelancaran LED Kelantan 2026 di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan semalam. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan bercadang untuk menjalin kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan penganjuran Liga Elit DUN Kelantan (LED Kelantan) pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, langkah itu bakal diambil susulan berlaku beberapa insiden pergaduhan dan serangan terhadap pengadil sepanjang penganjuran kejohanan itu pada tahun lalu.

Menurutnya, sehubungan itu pihaknya merasakan terdapat keperluan bagi penganjur-penganjur di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) memaklumkan pihak polis mengenai setiap perlawanan LED DUN Kelantan yang berlangsung di kawasan mereka.

“Bagi memperkuatkan lagi langkah ini, kerajaan negeri sendiri akan mengeluarkan surat pemakluman mengenai pengajuran kejohanan ini kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

“Mungkin dengan adanya arahan daripada Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat, aspek kawalan polis akan lebih tegas. Jadi kita perkasakan dari sudut itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran LED Kelantan 2026 di Tunjong, di sini semalam.

Beliau memberitahu, urusan berkaitan hukuman ke atas pasukan atau pemain kekal di bawah Jawatankuasa Disiplin LED Kelantan, selain terdapat beberapa perubahan dilaksanakan pada tahun ini termasuk syarat kelayakan pemain.

“Sebelum ini syarat kelayakan pemain adalah beralamat di dalam sesebuah kawasan Parlimen tetapi untuk tahun ini kita ubah kepada mengundi di dalam sesebuah kawasan Parlimen.

“Kita ambil pendekatan ini untuk mengelak daripada berlaku situasi pemain diimport dari luar kawasan dan ditukar amalat MyKad bagi membolehkan dia mewakili pasukan yang bermain di dalam sesebuah DUN,” katanya.

Katanya, perubahan yang dibuat adalah bagi memastikan liga peringkat akar itu sentiasa seimbang tanpa jurang persaingan terlalu besar antara sesebuah pasukan.

Dalam perkembangan sama, Zamakhshari berkata, sebanyak RM1.4 juta dibelanjakan bagi penganjuran LED Kelantan, sehingga ke peringkat kejohanan Piala Menteri Besar (Piala MB) pada tahun ini.

“Pada tahun lepas, sebanyak 517 pasukan bertanding, melibatkan seramai 11,891 pemain dan 2,585 pegawai pasukan. Bagi tahun ini, kita menjangkakan angka yang sama atau lebih,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN