KOTA BHARU: Porsche 911 GT3; Panamera; Toyota Alphard; Velfire; Jeep Wrangler dan BMW 528i Limousine antara 42 kenderaan mewah yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Kelantan dalam Op Khas Luxury.
Operasi yang bermula sejak Januari tahun ini menyasarkan kenderaan import dan mewah yang melakukan kesalahan terutama Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dengan 35 kes dan tiada perlindungan insurans (31) kes.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah, berkata sebahagian daripada kenderaan mewah itu mempunyai saman tertunggak yang menyebabkan pemiliknya tidak dapat memperbaharui cukai jalan.
“LKM tamat tempoh adalah kesalahan paling serius dikesan dan alasan pemilik tidak memperbaharuinya adalah buat-buat lupa dengan menganggap pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kenderaan mewah sebegitu.
“Ada juga yang mempunyai saman tertunggak dan menyebabkan pemiliknya tidak dapat memperbaharui cukai jalan.
“Hasil operasi ini juga mendapati terdapat pemilik kenderaan mewah yang hanya memperbaharui perlindungan insurans dan mengabaikan cukai jalan,” katanya pada sidang media, di perkarangan pejabat JPJ negeri di sini, hari ini.
Mohd Misuari berkata, selain dua kesalahan itu, penggunaan nombor pendaftaran perdagangan palsu dan pertukaran enjin tanpa kebenaran juga dikesan, dengan masing-masing satu kes direkodkan.
Katanya, pemilik semua kenderaan mewah yang disita terdiri daripada ahli perniagaan, profesional dan penjawat awam.
“Paling lama LKM tidak diperbaharui adalah sejak 2020 dan kita memandang serius kerana ia bukan sahaja membabitkan ketirisan hasil kerajaan, malah turut memberi implikasi kepada pihak ketiga sekiranya berlaku kemalangan atau insiden yang tidak diingini.
“Secara keseluruhannya untuk Op Luxury ini, jumlah ketirisan hasil kerajaan membabitkan kadar bayaran cukai jalan dianggarkan RM34,547.80 setahun dan kadar bayaran tertinggi yang direkodkan adalah sebanyak RM6,612 manakala minimum pula RM70.
“Dengan kejayaan sitaan 42 kenderaan mewah ini kita lebih peka dan akan menjalankan tindakan penguatkuasaan secara konsisten tanpa mengabaikan kenderaan lain,” katanya. – UTUSAN










