PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengambil tindakan terhadap dakwaan penggunaan tulisan Cina pada kad janji temu di Klinik Kesihatan Sri Rampai, dekat sini.
Ia susulan penularan satu video di TikTok apabila seorang pengguna media sosial memuat naik rakaman memaparkan tulisan Cina pada kad janji temu pesakit di klinik itu.
Menurutnya, KKM perlu memandang serius perkara itu dan tidak mengaitkan sentimen politik dalam urusan penyampaian perkhidmatan di klinik kerajaan.
“Terima kasih kerana mengetengahkan isu ini, pihak kami sedang menyemak dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” kata KKM menerusi maklum balas di Threads @kementeriankesihatanmalaysia hari ini.
Perkongsian itu meraih perhatian ramai selepas diulang siar di platform Threads kerana kad janji temu pesakit yang kebiasaannya menggunakan bahasa Melayu atau Inggeris, dicetak dalam bahasa Mandarin.
Video berdurasi 1 minit 27 saat itu pada awalnya dimuat naik ke platform TikTok oleh pemilik akaun @shah.faza yang turut mendakwa perkara tersebut dipolitikkan sedangkan kesihatan adalah isu rakyat. – UTUSAN










