Transeksual juga mangsa gangguan seksual - Utusan Malaysia

Transeksual juga mangsa gangguan seksual

MELINDUNGI golongan transeksual daripada gangguan seksual tidak bermakna kita mengiktiraf kumpulan berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual 2021 (AGS 2021) selepas lebih 10 tahun dirangka.

Perkembangan terbaru ini memberi isyarat positif bahawa semua pihak dalam negara kita tidak akan sesekali bertolak ansur dengan isu melibatkan gangguan seksual.

Adalah diharapkan RUU ini melindungi golongan transeksual juga. Transeksual ialah seorang lelaki atau perempuan yang berperasaan dan berpenampilan sebagai anggota jantina yang satu lagi.

Walaupun golongan transeksual tidak diiktiraf di kebanyakan negara dalam dunia termasuk Malaysia, tidak bermakna golongan ini boleh dimalukan dan diganggu secara seksual oleh orang sekeliling.

Sebarang bentuk ejekan berbentuk seksual terhadap golongan transeksual perlu dijadikan sebagai kesalahan dan tindakan harus diambil di bawah mana-mana peruntukan undang-undang di negara kita.

Ejekan seperti pondan, bapuk, kunyit, lembik, mat kepit, sotong dan sebagainya yang selalu digunakan terhadap golongan berkenaan juga perlu dihentikan sepenuhnya.

Ini kerana ia bukan sahaja boleh menjatuhkan maruah mangsa yang terlibat malah boleh menyebabkan ahli keluarga mereka menghadapi tekanan.

Gangguan seksual ini dilihat mudah dilakukan terhadap golongan transeksual kerana kebanyakan negara dalam dunia tidak menerima kewujudan mereka akibat tanggapan negatif yang sering diberikan.

Gangguan seksual adalah sebarang bentuk perkataan atau tingkah laku berunsur seksual yang tidak diingini dan memberi kesan sebagai satu gangguan.

INTERNET

Gangguan seksual boleh berlaku sekali atau berulang kali dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Ia juga boleh berlaku di mana-mana sahaja sama ada di tempat kerja, dalam pengangkutan awam, kawasan riadah dan lain-lain lagi.

Kemunculan teknologi baharu dan internet pada masa kini boleh menjadi tempat untuk berlakunya gangguan seksual.

Gangguan seksual boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu pertama, secara lisan seperti kata-kata dan gurauan manakala kedua, bukan lisan. Contohnya, pandangan atau jelingan yang membayangkan sesuatu keinginan.

Ketiga, dalam bentuk tulisan contohnya menghantar sebarang mesej berbentuk seksual melalui telefon bimbit dan keempat, dalam bentuk visual. Contohnya, menunjukkan bahan-bahan lucah.

Kelima, terdapat gangguan seksual berbentuk psikologi seperti memujuk rayu berterusan untuk keluar bersama atau bercumbuan dan keenam, berbentuk ­ fizikal seperti sentuhan yang tidak diingini dan mencium.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya AGS 2021 meliputi perlindungan daripada gangguan seksual kepada semua pihak termasuk golongan transeksual di negara ini.

Penting untuk diketahui juga, melindungi golongan transeksual terbabit daripada gangguan seksual tidak bermakna kita mengiktiraf golongan berkenaan.

Oleh yang demikian, mana-mana pihak tidak perlu bimbang sekiranya golongan transeksual berkenaan dilindungi daripada gangguan seksual sama seperti orang lain. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya