Serangan jantung bukan penyakit warga emas - Utusan Malaysia

Serangan jantung bukan penyakit warga emas

PENYAKIT jantung tiada diskriminasi umur kerana ia boleh menyerang sesiapa sahaja, baik golongan muda atau tua.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SERANGAN jantung kian meningkat dalam kalangan golongan muda pada lingkungan usia 20-an dan 30-an sekali gus menjadikannya bukan lagi penyakit yang hanya dikaitkan dengan warga emas.

Malah, kajian tentang penyakit arteri koronari dalam kalangan belia di negara ini mendapati hampir 70 orang berumur 15 hingga 24 tahun mempunyai sekurang-kurangnya satu faktor risiko kardiovaskular (penyakit melibatkan jantung atau saluran darah).

Oleh itu, pendapat yang mengaitkan serangan jantung dengan orang berumur sudah lapuk. Golongan muda harus mengambil tindakan segera untuk memastikan mereka tidak diserang penyakit berkenaan.

Penyakit jantung tiada diskriminasi umur. Ia boleh menyerang sesiapa sahaja, baik golongan muda mahupun tua. Tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi merupakan faktor penyumbang utama kepada penyakit jantung dan semakin ramai golongan muda mempunyai risiko ini.

Sungguhpun dalam usia 20-an, sangat penting untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala dan mengamalkan gaya hidup sihat bagi mengurangkan faktor-faktor risiko ini.

Hapuskan juga tanggapan yang lazim kedengaran tentang kurang risiko penyakit jantung dalam kalangan golongan muda. Antaranya, saya masih muda dan boleh makan apa sahaja tidak mengira masa.

Siapa yang tidak menggemari sesi teh tarik di gerai mamak pada lewat malam? Namun, perlulah berfikir baik-baik sebelum memesan mi segera goreng kesukaan.

Tekanan

Ini kerana diet tidak sihat dan tinggi lemak menyebabkan pengumpulan plak di arteri dan meningkatkan risiko serangan jantung. Selain itu, apa kata tukarkan teh tarik dengan teh tanpa gula?

Tanggapan tidak perlu mengawal tabiat merokok kerana masih muda juga adalah salah. Amalan merokok adalah risiko utama kegagalan jantung kongestif kerana ia mampu menyebabkan aterosklerosis serta meningkatkan tekanan darah.

Selain itu, tanggapan orang muda boleh menangani tekanan dengan baik, jadi itu bukan masalah besar adalah tidak betul. Kajian mendapati apabila berasa tertekan, amigdala (bahagian otak yang menangani tekanan) akan memberi isyarat kepada sumsum tulang untuk menghasilkan sel darah putih berlebihan.

Ini menyebabkan arteri meradang yang berupaya mencetuskan serangan jantung, sakit dada dan strok. Sesungguhnya kehidupan kita memang tidak dapat lari daripada tekanan. Oleh itu, mesti diperuntukkan masa untuk berehat, memulihkan tenaga dan menyegarkan badan bagi menghilangkan kesan tekanan.

Salah tanggapan lain adalah tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi hanya melanda orang berusia. Semua masalah kesihatan itu adalah risiko klasik untuk penyakit jantung.

Oleh itu, tiada salahnya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti sebarang tanda masalah awal.

Meskipun sesetengah faktor risiko penyakit jantung tidak dapat dikawal, misalnya umur atau sejarah penyakit keluarga, kita boleh mengambil tindakan untuk mengurangkan risiko dengan mengubah faktor yang boleh dikawal.

Misalnya, perubahan kecil dalam gaya hidup seperti bersenam dan membuat pilihan pemakanan sihat boleh mendatangkan perubahan besar kepada kesihatan jantung kita.

Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Jadi, sebaiknya kita menjalani pemeriksaan jantung dan mengenal pasti risiko lebih awal serta mengambil tindakan proaktif bagi melindungi dan menguatkan jantung. – UTUSAN

DR. NABIL IDRIS, Pakar Perunding Kardiologi Residen, Hospital Aurelius Nilai, Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya