KOTA TINGGI: Kapal Malaysia yang membawa muatan bahan api melepasi Selat Hormuz selepas terkandas di perairan tersebut selama beberapa hari susulan konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran tiba di perairan negara, di Pengerang, di sini hari ini.
Berdasarkan laman web ‘marinetraffic.com’, kapal yang memulakan pelayaran dari Pelabuhan Al Basrah, Iraq pada 3 Mac lalu itu tiba di sini pada pukul 1.30 petang setelah melalui pelayaran selama lebih sebulan.
Bagaimanapun, difahamkan kapal sepanjang 274 meter dengan membawa kira-kira satu juta tong minyak mentah Basrah Heavy akan melakukan pertukaran pengemudi dan dijangka tiba di Jeti 2 pelabuhan itu kira-kira pukul 7 malam.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Tanjung Pengelih mendapati kapal tangki ‘Ocean Thunder’ yang membawa muatan bahan api itu telah mula kelihatan.
Ketibaan kapal tersebut menandakan hubungan baik antara kepimpinan Malaysia dan Iran yang bertindak mengawal semua kapal membawa muatan bahan api yang mahu melalui Selat Hormuz.
Kelmarin, Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata kapal ‘Ocean Thunder’ adalah kapal Malaysia pertama yang tiba di negara selepas melepasi selat tersebut, manakala kapal kedua dijangka tiba, minggu depan.
“Pada waktu ini dimaklumkan terdapat dua kapal sedang dalam perjalanan. Satu dijangka tiba pada 17 April (hari ini) manakala satu lagi mungkin minggu yang berikutnya.
“Terdapat lima lagi kapal Malaysia yang masih berada di Selat Hormuz,” katanya seperti dilaporkan media.
Jumaat lalu, Perdana Menteri mengesahkan enam daripada tujuh kapal Malaysia yang sepatutnya membawa bekalan minyak mentah ke negara ini, sudah mendapat kelulusan dan menunggu giliran untuk belayar melepasi Selat Hormuz.
Anwar justeru itu dilaporkan berkata, bekalan minyak untuk bulan April dan Mei dijangka berada dalam keadaan yang terkawal.
Sementara itu, pekerja swasta, Omar Khan Mokri, 44, berkata, pihaknya berharap enam lagi kapal Malaysia yang sedang menunggu giliran untuk melepasi Selat Hormuz diberikan kebenaran untuk belayar.
“Sebagai rakyat biasa, harapan kami agar harga petrol dan diesel kembali pulih seperti sebelum ini. Sekarang banyak kenaikan harga berlaku termasuklah harga makanan dan minuman. Semua orang kena tempias,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Seorang lagi rakyat tempatan, Ramli Ahmad, 49, memberitahu, dia berharap kerajaan Malaysia akan terus mengekalkan hubungan geopolitik baik dengan pelbagai negara antarabangsa termasuklah Iran.
“Konflik di Asia Barat ini menjadi bukti, jika kita buat baik kepada orang lain, orang lain juga akan buat baik kepada kita,” katanya. – UTUSAN










