GEORGE TOWN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan telah menerima beberapa aduan berkaitan dakwaan pemindahan hak milik nombor pendaftaran kenderaan unik tanpa pengetahuan pemilik asal.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya memandang serius setiap aduan yang diterima dan akan menjalankan siasatan terperinci sebelum sebarang tindakan diambil.
Menurut beliau, siasatan akan dilaksanakan berdasarkan prosedur sedia ada serta peruntukan undang-undang bagi memastikan setiap kes diteliti secara adil dan menyeluruh.
“Kalau ada dakwaan seperti ini, memang kita akan siasat dan ambil tindakan berdasarkan prosedur serta undang-undang berkaitan,” katanya ketika sidang akhbar sempena pengumuman Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai kes seorang ahli perniagaan perkhidmatan kereta sewa yang mendakwa nombor pendaftaran Toyota Alphard milik syarikatnya dipindah hak milik tanpa kebenaran selepas disewakan kepada ejen kereta sewa, Januari lalu.
Aedy Fadly berkata, terdapat beberapa kes dilaporkan melibatkan pertukaran hak milik nombor pendaftaran yang didakwa berlaku tanpa kebenaran pemilik asal.
Bagaimanapun, katanya, setiap kes perlu diteliti terlebih dahulu kerana ada kemungkinan pertukaran tersebut dilakukan secara sah mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Kadang-kadang dakwaan itu tidak benar. Ada kes di mana pemilik merasakan nombor itu miliknya, tetapi sebenarnya ia telah dipindah milik secara sah sebelum ini.
“Sehubungan itu, JPJ tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan seperti mengembalikan nombor pendaftaran kepada pemilik asal tanpa siasatan lengkap,” katanya. – UTUSAN










