GEORGETOWN: Tujuh individu yang ditahan kerana terlibat dalam satu pergaduhan berkumpulan di Persiaran Karpal Singh di sini minggu lepas dipercayai mempunyai kaitan dengan dendam lama iaitu perebutan teman wanita.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, kesemua suspek ditahan selepas pihaknya menerima laporan polis berhubung insiden berkenaan.
“Siasatan awal setakat ini mendapati, pergaduhan tersebut mungkin berpunca daripada perselisihan lama yang membabitkan isu perebutan teman wanita,” katanya di sini, hari ini.
Rakaman video berdurasi satu minit mengenai pergaduhan berkenaan sebelum itu tular di media sosial sehingga didakwa telah menimbulkan kegusaran awam.
Dalam pada itu, Swee Sake berkata, kertas siasatan mengenai kes itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan pihaknya kini sedang menunggu arahan selanjutnya sebelum mengambil sebarang tindakan.
“Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” ujar beliau. – UTUSAN









