JASIN: Teman wanita teruja dan ingin belajar memandu bas.
Itu alasan bekas pemandu bas ekspres yang viral kerana meriba teman wanitanya ketika memandu di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).
Lelaki berusia 36 tahun itu semalam ditahan bersama teman wanitanya berusia 21 tahun, ketika hadir secara sukarela memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Jasin, kira-kira pukul 4.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, lelaki itu dan teman wanitanya ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Siasatan awal mendapati kedua-duanya sudah mengenali sejak lima bulan lalu dan telah dirakam percakapan selama kira-kira dua jam,” katanya.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku di susur masuk Rehat dan Rawat (R&R) Bemban arah selatan.
Katanya, lelaki terbabit memberi alasan melakukan tindakan berbahaya itu kerana teman wanitanya teruja dan ingin belajar memandu bas.
“Lelaki itu mempunyai pengalaman memandu bas selama 10 tahun manakala wanita terbabit bekerja sebagai petugas kaunter tiket di sebuah syarikat bas lain,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kejadian tersebut dipercayai berlaku pada 12 April lalu kira-kira pukul 7.30 malam, manakala rakaman video insiden itu mula dikesan tular pada 13 April kira-kira pukul 5.30 petang oleh pihak polis. – UTUSAN










