JASIN: Bekas pemandu bas ekspres bersama teman wanitanya direman empat hari bermula hari ini hingga Ahad ini.
Kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan berhubung tindakan lelaki berusia 36 tahun itu memandu bas sambil meriba atau memangku teman wanitanya berusia 21 tahun pada 12 April lalu.
Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Mazana Sinin di Mahkamah Majistret Jasin di sini hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
Terdahulu kedua-dua suspek berpakaian lokap tiba di perkarangan Mahkamah Jasin kira-kira pukul 9.00 pagi dengan menaiki trak.
Semalam, kedua-dua suspek ditahan polis ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.
Penahanan tersebut dibuat susulan rakaman video tular yang memaparkan tindakan wanita berkenaan duduk di atas riba lelaki terbabit ketika kenderaan sedang dipandu.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku berhampiran susur masuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bemban arah selatan pada 12 April lalu kira-kira pukul 7.30 malam.
Difahamkan, lelaki berkenaan yang mempunyai pengalaman memandu bas selama kira-kira 10 tahun memberi alasan bahawa teman wanitanya ingin belajar memandu, mendorongnya melakukan tindakan berbahaya tersebut. – UTUSAN









