SAUDARA PENGARANG,
KES membabitkan bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini ketika semua jemaah haji di Mekah melaksanakan ibadah wukuf di Arafah pastinya mengundang rasa geram berbaur marah. Malah ia amat perit sekali untuk ditanggung akibat mengalami dua kerugian besar iaitu wang hangus dan kedua, kempunan tidak dapat menunaikan ibadah haji.
Terdahulu, hasrat lebih 380 jemaah haji menunaikan rukun Islam kelima di tanah suci tidak kesampaian apabila mereka terkandas di KLIA dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.
Difahamkan kesemua bakal jemaah itu yang datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak gagal berlepas ke tanah suci selepas tidak mempunyai dokumen perjalanan lengkap seperti visa dan pasport selepas dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji.
Tiada lagi apa yang hendak dikesalkan, nasi sudah menjadi bubur sebaliknya hanya perlu menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat mereka yang disyaki terlibat melakukan penipuan pakej haji.
Diharapkan pada masa akan datang, mana-mana agensi pelancongan yang mahu mengiklankan tawaran mengerjakan ibadah umrah atau haji perlu mendapatkan permit kelulusan atau kebenaran yang mengandungi nombor siri iklan daripada Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) terlebih dahulu sebagai langkah mengekang sendiket penipuan atau scammer terhadap calon-calon bakal jemaah umrah atau haji.
Jawhar juga perlu proaktif dari semasa ke semasa lebih-lebih lagi setiap kali tibanya musim ibadah haji dengan cara melakukan beberapa pemantauan di setiap agensi atau syarikat pelancongan di seluruh negara termasuk mengadakan siri penerangan menerusi media sekiranya terdapat maklumat baharu daripada kerajaan Arab Saudi mengenai proses dan tawaran mengerjakan haji kepada bakal jemaah haji.
Semoga keperitan mereka yang pernah menjadi mangsa penipuan haji tidak lagi berulang.-UTUSAN
MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang