Mahu radio swasta berbahasa Melayu jadi lebih baik

Mahu radio swasta berbahasa Melayu jadi lebih baik

RAKYAT bimbang berlaku penurunan kualiti kandungan radio swasta berbahasa Melayu. – GAMBAR HIASAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini tular kisah seorang pempengaruh mencari pasangan hidup di media sosial. Tidak ada yang salah dengan perkara ini kerana semua orang berhak mencari jodoh dengan cara masing-masing.
Namun, perhatian yang diberikan oleh beberapa stesen radio swasta berbahasa Melayu kepada pencarian ini, termasuklah oleh sebuah stesen yang bersifat gaya hidup Muslim, dilihat sangat berlebihan. Wajar sahaja jika pempengaruh ini diberi sebuah slot temu bual radio selama beberapa minit untuk pencarian beliau.

Tetapi, saat sebuah radio swasta menjadikan perkara ini sebagai sebuah kandungan utamanya selama berhari-hari menerusi rancangan pagi yang didengar oleh ramai pendengar, dengan petikan perbualan yang diulang sepanjang hari. Apakah nilai yang ingin diberikan kepada rakyat?

Mungkin stesen radio ini boleh beralasan bahawa ia bertujuan hiburan semata-mata, demi membantu para pendengar untuk melepaskan tekanan di dalam perjalanan ke tempat kerja. Mungkin ada kebenarannya, tetapi ini hanyalah sebuah ‘pelarian’ yang bersifat sementara.

Kandungan sebegini hanyalah menghasilkan sebuah gelak tawa kosong dan dangkal. Ia tidak menjadikan kita lebih bersedia menghadapi realiti kehidupan.

Ia juga merendahkan kebolehan berfikir rakyat Malaysia. Walhasil, tidak hairan jika terdapat pendengar yang lebih senang terpengaruh dan memberikan reaksi yang kadangkala berlebihan kepada hal-hal yang bersifat tular, kontroversi dan populis, tanpa mempedulikan kebenaran dan logik di sebalik perkara tersebut.

Memang terdapat radio berbahasa Melayu khusus yang membicarakan isu semasa serta info terkini yang bermanfaat seperti BuletinFM dan NasionalFM dan kita boleh sahaja memilih stesen-stesen ini. Namun, itu bukanlah persoalannya di sini.

Yang menjadi kebimbangan adalah penurunan kualiti kandungan radio swasta berbahasa Melayu, sehingga ia dilihat bersifat ‘pembodohan’ untuk para pendengarnya. Dengan kandungan radio yang kadangkala memualkan sebegini, maka tidak hairanlah jika ramai yang lebih memilih untuk mendengar aplikasi penstriman muzik dan audio siar menerusi telefon pintar.

Satu perkara yang sering kita lupakan adalah stesen radio menggunakan frekuensi awam yang diberikan oleh pihak kerajaan. Sudah semestinya mereka mempunyai tanggungjawab besar kepada orang awam.Mereka mestilah memainkan peranan mereka dengan sewajarnya.

Dengan jumlah pendengar melebihi 23 juta setiap minggu seperti yang dilaporkan oleh GfK Radio Audience Measurement Wave 1 2022 baru-baru ini, stesen radio swasta berbahasa Melayu mempunyai pengaruh yang tidak dapat dinafikan lagi. Mereka mempunyai potensi untuk menjadi lebih baik menerusi kandungan lebih pintar, memberi inspirasi dan yang tidak menghina daya fikir pendengarnya.

Tidak perlulah stesen radio bersifat keterlaluan di dalam mengejar detik-detik tular, demi meningkatkan jumlah pendengar. Ia hanya bersifat sementara. nya kita menjadikan radio sebagai sebuah medium hiburan. Namun kita, sebagai para pendengar radio berbahasa Melayu juga berhak dihormati dan mendapatkan pengalaman mendengar radio yang lebih baik, berkualiti dan mengujakan.-UTUSAN

MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya