Kesal kita hanya kenang kejayaan penjajah Portugis

Kesal kita hanya kenang kejayaan penjajah Portugis

JANGAN dikenang tinggalan Portugis sehingga dilupakan wira-wira yang terkorban mempertahankan Kota Melaka daripada jatuh ke tangan penjajah. – GAMBAR HIASAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PEMBENTANGAN laporan Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini mengejutkan banyak pihak.

Ini kerana di sebalik kejayaan membanggakan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, masih terdapat 12 peratus calon tidak mendapat sijil kerana gagal mata pelajaran wajib sama ada Bahasa Melayu atau Sejarah.

Bagaimanapun, pujian patut diberikan kepada KPM kerana tegas untuk mempertahankan Sejarah sebagai subjek wajib lulus dalam peperiksaan SPM.

Hakikat terdapat sebilangan pelajar gagal dalam Sejarah menjadi hujah sesetengah pihak bahawa subjek tersebut membosankan.

Namun, jika dilihat dari sudut pandang berbeza, tayangan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan telah menyangkal hujah bahawa golongan belia tidak sukakan sejarah.

Kehadiran belia dengan busana tradisional untuk menonton filem tersebut menunjukkan kecenderungan sebenar golongan muda terhadap sejarah dan jati diri mereka.

Di sebalik keghairahan golongan belia meraikan tayangan filem tersebut, terdapat segelintir daripada mereka yang gagal dalam mata pelajaran Sejarah.

Keadaan ini dapat ditafsirkan sebagai kegagalan untuk membangkitkan keghairahan golongan belia untuk mempelajari Sejarah secara akademik di sekolah.

Oleh itu, memandangkan KPM sedang dalam proses mengkaji dan mencari pendekatan intervensi yang bersesuaian bagi mengurangkan kegagalan calon SPM dalam Sejarah, adalah dicadangkan dibangunkan kaedah baharu penyampaian dan pengajaran subjek itu yang mampu menarik minat pelajar.

Sejarah tidak boleh lagi menjadi satu pembelajaran yang mengingati tarikh-tarikh penting. Mata pelajaran tersebut sepatutnya menonjolkan sifat-sifat keperwiraan tokoh-tokoh yang terkenal dalam lipatan sejarah.

Sejarah Melaka diingati dari sudut tarikh dan kejayaan Portugis menawan Kota Melaka, namun wira-wira yang bermati-matian mempertahankan kota tersebut tidak pernah diketahui dalam buku-buku sejarah.

Naratif pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah perlu diperbetulkan.Masyarakat menghormati pegawai-pegawai KPM yang bijaksana dalam merangka kurikulum mata pelajaran tersebut namun perlu diakui terdapat kelemahan cara pengajaran Sejarah terkini yang boleh diperbaiki.

Majlis Belia Malaysia (MBM) sanggup bersama-sama KPM membantu menyumbang tenaga dan idea bagi memperbaiki kelemahan tersebut.

Menjadi kepercayaan MBM bahawa mata pelajaran Sejarah perlu diperkasakan bagi memastikan masa depan Malaysia sebagai sebuah negara terus lestari dan berdaulat. – UTUSAN

MOHD. FAUZI FADZIL, Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan, Majlis Belia Malaysia (MBM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya