PETALING JAYA: Petronas Dagangan Bhd. mengumumkan pelantikan Naib Presiden Eksekutif Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Datuk Sazali Hamzah sebagai pengerusi baharu syarikat itu berkuat kuasa serta-merta.
Menurut makluman anak syarikat runcit Petronas itu kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, beliau menggantikan Datuk Anuar Ahmad yang bersara pada 27 April lalu,
“Sazali, 60, kini turut memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif perniagaan hiliran Petronas. Beliau juga merupakan pengerusi Petronas Chemicals Group Bhd.
“Sebelum ini, beliau pernah menyandang jawatan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals Group Bhd. dari 8 Mei 2014 hingga 31 Disember 2021.
“Sebelum itu, beliau merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Penapisan (Melaka) Sdn. Bhd,” katanya.
Syarikat itu berkata, beliau juga pernah memegang beberapa jawatan kanan dalam Petronas termasuk Pengurus Besar Kanan Penyelesaian Teknologi Kumpulan dan Ketua Pengurusan serta Pelaksanaan Projek, selain pelbagai peranan kepimpinan lain dalam perniagaan penapisan dan petrokimia.
Saham Petronas Dagangan meningkat 20 sen atau satu peratus kepada RM20.76 pada waktu rehat tengah hari dagangan, sekali gus memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM20.6 bilion. –UTUSAN









