Jangan didik anak jadi penakut - Utusan Malaysia

Jangan didik anak jadi penakut

KANAK-KANAK sewajarnya dibiasakan dengan pemeriksaan pergigian seawal mungkin. – UTUSAN/IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

“HAA, kalau tak berhenti menangis, doktor akan cabut semua gigi!” Adakalanya doktor gigi mendengar komen-komen seperti ini terpacul dari mulut ibu bapa di klinik mereka.

Kadangkala guru atau pengasuh di tadika sengaja menakut-nakutkan kanak-kanak di bawah asuhan mereka semasa sesi pemeriksaan pergigian dijalankan.

Setiap kali ‘gurauan’ seperti ini dilontarkan, doktor gigi akan berusaha menepis dan menidakkan. Membetulkan sesuatu yang salah adalah perlu agar tidak menjadi kebiasaan dan kepercayaan.

Contohnya, komentar seperti di atas merupakan sesuatu yang tidak tepat sama sekali. Mungkin ada yang beranggapan itu sekadar satu gurauan atau usikan ringan.

Namun, secara psikologinya ia boleh menimbulkan rasa takut dan kerisauan pada kanak-kanak tersebut terutama sekali anak kecil yang baru kali pertama berjumpa doktor gigi.

Perkara paling utama dalam perhubungan antara doktor gigi dan pesakit adalah membina rasa percaya. Sekiranya awal-awal lagi anak kecil sudah dimomokkan dengan ‘gurauan’ berbaur ugutan menakutkan, usaha membina rasa percaya dan kerjasama mesra antara doktor dan pesakit akan menjadi sukar.

Kanak-kanak sewajarnya dibiasakan dengan pemeriksaan pergigian seawal mungkin, sebaiknya apabila gigi susu mereka mulai tumbuh.

Ibu bapa boleh menjadikan pemeriksaan pergigian sebagai satu rutin tahunan keluarga. Apabila kanak-kanak sudah dibiasakan dengan pemeriksaan gigi, mereka tidak akan melihat doktor pergigian sebagai seorang yang harus digeruni, sebaliknya seorang berniat baik untuk membantu menjaga gigi.

Tanamkan dalam minda kanak-kanak untuk melihat doktor gigi sebagai seorang yang mesra membantu, bukan musuh perlu ditakuti. – UTUSAN

DR. NAZIRAH AB. MUMIN & DR. AZLAN JAAFAR, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya