Lawatan Lee Hsien Loong buka peluang kerjasama strategik Terengganu-Singapura

 Lawatan Lee Hsien Loong buka peluang kerjasama strategik Terengganu-Singapura

AHMAD Samsuri Mokhtar (dua dari kiri) dan Lee Hsien Loong (dua dari kanan) bergambar sebelum Majlis Taklimat Pembangunan kepada Delegasi Menteri Kanan Singapura di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lawatan Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong ke Terengganu membuka peluang baharu kerjasama strategik antara kedua-dua pihak khususnya dalam sektor tenaga hijau, pelaburan, pembangunan ekonomi dan pelancongan.

Kunjungan hormat bersama delegasi rasmi republik itu ke Wisma Darul Iman hari ini, disambut Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar serta barisan kepemimpinan kerajaan negeri.

Kerajaan Negeri Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan, pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala yang sedia terjalin selain meneroka potensi kerjasama baharu menerusi aspirasi pembangunan mampan di bawah Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030.

“Antara agenda utama dibincangkan adsalah potensi Terengganu sebagai hab tenaga hijau serantau melalui projek Hybrid Hydro Floating Solar (HHFS) di Tasik Kenyir yang merupakan loji solar terapung hibrid terbesar di Malaysia dengan kapasiti penuh sehingga 2.5 gigawatt (GW).

“Kerajaan negeri turut memperkenal ekosistem pembangunan ekonomi dan perindustrian negeri termasuk rantaian nilai silika menerusi projek Terengganu Silica Valley selain kemudahan logistik strategik seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Pelabuhan Kemaman,” katanya.

Dalam sektor pelancongan pula, hubungan lebih erat dengan Singapura dilihat mampu memperkukuh promosi serta meningkatkan keterhubungan pelancong asing ke Terengganu memandangkan republik itu adalah antara pasaran pelancong utama bagi Malaysia.

Pertemuan berkenaan turut membuahkan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua pihak terutama dalam bidang ekonomi hijau, teknologi tinggi dan pelaburan mampan yang selari dengan keperluan pasaran ASEAN serta global.

Dalam sesi lawatan itu juga , delegasi Singapura dibawa melawat beberapa lokasi ikonik negeri termasuk Pasar Besar Kedai Payang dan Jambatan Angkat Kuala Terengganu bagi melihat sendiri pembangunan pelancongan moden negeri serta inisiatif perlindungan pantai yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN