KUALA LUMPUR : Bekas suami penyanyi Adira Suhaimi, Datuk Seri Adnan Abu tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada bekas isterinya menerusi sebuah video yang dimuat naik di TikTok.
Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red berkata, permohonan maaf tersebut dibuat susulan keterlanjurannya di media sosial, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya Adnan Abu. Video ini ditujukan khas kepada bekas isteri saya, Adira Suhaimi dan pihak peguamnya.
“Saya ingin memohon maaf dengan ikhlas atas segala keterlanjuran saya di media sosial secara langsung atau tidak langsung,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Red berharap kemelut antara mereka dapat diselesaikan secara baik demi kebajikan anak-anak.
Katanya, dia mahu kedua-dua pihak mencapai persefahaman dalam urusan membesarkan serta menjaga anak mengikut haluan masing-masing.
Sebelum ini, Adira meluahkan rasa terkilan terhadap tindakan bekas suaminya yang didakwa meletakkan syarat bagi menyelesaikan kes rujuk melibatkan mereka.
Penyanyi lagu Sayang Orang Yang Sama itu mendakwa Datuk Red meminta bayaran sebanyak RM100,000 sebagai syarat untuk membatalkan kes rujuk yang sedang berlangsung di mahkamah.
Malah, Adira turut mendakwa bekas suaminya mahu saman sivil berkaitan tuntutan hutang digugurkan.
Bagaimanapun, Datuk Red menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan tidak pernah meletakkan sebarang syarat termasuk meminta kes saman sivil melibatkan hutangnya dibatalkan.
Untuk rekod, Adira dan Adnan mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebelum bercerai pada 24 April lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggerik, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 3 tahun.










