PASIR MAS: Hasrat 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk bekerja di negara ini tidak kesampaian apabila mereka dicekup Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Selasa lalu.
Lebih malang, wang antara RM5,000 hingga RM12,000 yang dipercayai dibayar kepada ejen penyeludupan migran bagi membawa mereka masuk ke Malaysia ‘hangus’ selepas kesemua mereka diberkas di kawasan tebing Sungai Kelantan berhampiran Kampung Kedai Buluh, Kota Bharu, dekat sini pada pukul 2.13 pagi.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, maklumat itu hasil soal siasatan yang dilakukan ke atas PATI tersebut.
Katanya, pemeriksaan mendapati semua migran itu memiliki pasport namun gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah untuk masuk ke negara ini.
“PATI yang ditahan itu terdiri daripada lapan warga India masing-masing lima lelaki dan tiga wanita, Bangladesh (seorang lelaki dan seorang wanita). Siasatan lanjut mendapati kesemua migran itu dijanjikan pekerjaan dalam sektor dobi dan cucian kenderaan.
“Sindiket penyeludupan menjadikan Thailand sebagai negara transit sebelum dibawa ke lokasi yang dijanjikan di Johor, Selangor dan Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali di sini, hari ini.
Kamal berkata, mereka dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kelantan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
Katanya, disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan tangkapan itu dilakukan hasil maklumat risikan yang diterima berkait dengan penyeludupan migran melalui jalan tidak diwartakan.
Kamal berkata, semua migran itu dipercayai menempuh perjalanan selama seminggu dari negara asal untuk memasuki Malaysia bagi mendapatkan pekerjaan yang dijanjikan. – UTUSAN










