Pengilang berdepan isu ketersediaan bekalan bahan mentah - Utusan Malaysia

Pengilang berdepan isu ketersediaan bekalan bahan mentah

JACOB LEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Krisis Asia Barat yang berlarutan terus memberi tekanan hebat kepada industri pembuatan negara dengan 72 peratus syarikat melaporkan keadaan operasi mereka semakin merosot sejak awal April lalu, dengan bekalan bahan mentah yang kritikal.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Jacob Lee berkata, dapatan tinjauan kedua pihaknya mengesahkan gangguan yang bermula daripada kos pengangkutan dan logistik kini telah merebak ke seluruh rantaian nilai pembuatan.

Katanya, situasi itu kini menjejaskan ketersediaan bahan mentah, volum pesanan, aliran tunai, keputusan pelaburan serta jaminan pekerjaan dalam sektor berkenaan.

“Kekurangan bahan mentah kini berada pada tahap kritikal apabila 70 peratus responden melaporkan bekalan mereka terjejas, terutamanya bagi input teras seperti resin, polimer, bahan mentah petrokimia, bahan kimia industri serta logam.

“Isu inventori amat membimbangkan memandangkan 40 peratus responden hanya mempunyai simpanan bahan mentah kritikal untuk tempoh satu hingga dua bulan, manakala enam peratus lagi mempunyai simpanan kurang daripada dua minggu,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Jacob, kos pengangkutan laut kekal tinggi iaitu antara 20 hingga 50 peratus melebihi paras sebelum konflik, manakala tempoh transit ke Eropah kini memakan masa 35 hingga 45 hari berbanding 25 hingga 30 hari sebelum ini akibat lencongan kapal melalui Tanjung Harapan.

Ujarnya, tekanan kos dan gangguan bekalan ini turut meletakkan sektor pekerjaan dalam risiko dengan 40 peratus syarikat mula mengurangkan waktu kerja lebih masa, 33 peratus membekukan pengambilan pekerja baharu, manakala lima peratus lagi telah melaksanakan pemberhentian pekerja.

“Sebanyak 60 peratus syarikat juga telah menangguhkan atau membatalkan rancangan pelaburan, automasi serta pengembangan perniagaan mereka. 

“Walaupun kesannya mungkin tidak dirasai serta-merta, ia akan menjejaskan produktiviti dan daya saing industri dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, FMM mengemukakan beberapa rancangan kepada kerajaan termasuk pemberian pengecualian duti dan cukai ke atas bahan mentah dari sumber alternatif serta pelepasan cukai tambahan bagi surcaj pengangkutan berkaitan krisis.

FMM turut menggesa kerajaan menyediakan subsidi bahan api industri bersasar bagi pengilang yang menggunakan diesel dalam proses pengeluaran serta menambah peruntukan kuota diesel untuk syarikat pengangkutan bagi mengurangkan gangguan penghantaran.

“Kami juga memohon kerajaan menangguhkan semua kenaikan tarif pelabuhan untuk tempoh sekurang-kurangnya 12 bulan dan mempertimbangkan sokongan pengekalan pekerjaan secara bersasar, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pengilang berasaskan eksport,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN