Padah lupa ideologi negara - Utusan Malaysia

Padah lupa ideologi negara

SIFAT sopan santun amat penting dalam merapatkan hubungan antara etnik terutama dalam masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEJAK 1970, Rukun Negara sebagai ideologi negara menjadi pegangan dan amalan berkesan dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

Ia menjadi dasar kesatuan dan perpaduan bangsa Malaysia serta pedoman bagi kegiatan hidup bermasyarakat dan bernegara.

Terbukti melalui ideologi negara ini, jiwa dan pemikiran rakyat terarah kepada semangat patriotisme yang kuat, sekali gus memperkukuhkan kesatuan negara dan rakyat berbilang kaum.

Memang tidak dinafikan adakalanya penghayatan terhadap ideologi negara ini agak lemah. Ini disebabkan faktor-faktor seperti wujud politik perkauman, sentimen politik kewilayahan dan kesan daripada asakan globalisasi yang mencairkan nilai-nilai jati diri generasi muda.

Justeru, penghayatan dan pengamalan Rukun Negara harus diperkukuhkan kembali. Kita tidak mahu kegagalan dalam menghayati dan mengamalkan ideologi negara ini akan meletakkan kesatuan dan perpaduan masyarakat dalam keadaan tidak stabil sehingga boleh mencetuskan krisis hubungan kaum yang teruk.

Saya cuba huraikan lima prinsip Rukun Negara sebagai jalan membuka minda untuk menghayati kembali ideologi negara ini.

Prinsip pertama, Kepercayaan kepada Tuhan yang memberi gambaran bahawa asas kehidupan beragama yang dilakukan secara murni tanpa sebarang elemen ekstremisme adalah prinsip penting kehidupan rakyat. Ia mampu mewujudkan rakyat yang hormat-menghormati antara penganut pelbagai agama.

Dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri menetapkan Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan kepercayaan atau agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas.

Prinsip kedua, iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Penghayatan terhadap prinsip ini mampu membentuk sikap rakyat yang taat setia kepada Ketua Negara iaitu Yang di-Pertuan Agong sesuai dengan ketinggian kedudukannya dan memberikan sepenuh kesetiaan kepada negara tercinta ini.

Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja atau sultan yang memerintah.

Penghayatan terhadap prinsip kedua ini mampu membentuk satu bangsa Malaysia yang patriotik dan bersatu padu kerana raja adalah payung negara yang menaungi seluruh rakyat.

Justeru, institusi raja tidak boleh diperlekeh, dihina dan ia tidak wajar dipolitikkan sama sekali. Prinsip ketiga, iaitu Keluhuran Perlembagaan.

Prinsip ini bermaksud tiada mana-mana undang-undang boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan memberi jaminan terhadap hak asasi, kebebasan rakyat dan keadilan sosial untuk semua kaum.

Namun, kebebasan yang diberikan itu ada batasannya supaya tidak ada mana-mana pihak cuba menyalahgunakan kebebasan sehingga negara menjadi huru-hara.

Keempat, prinsip Kedaulatan Undang-Undang yang dilihat cukup penting dalam mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, tenteram, stabil dan makmur.

Kedaulatan undang-undang bermaksud setiap rakyat adalah sama tarafnya di sisi undang-undang negara tanpa sebarang diskriminasi kaum, gender mahupun kedudukan (status sosial).

Badan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang pula dijamin oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa.

Prinsip terakhir, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Ia menggambarkan ketinggian akal budi rakyat yang terdidik dengan adat dan adab ketimuran berasaskan pelbagai latar resam dan kepercayaan agama.

Kehidupan yang bersusila dan bersopan santun amat penting dalam konteks perhubungan etnik terutama dalam masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk.

Kesimpulannya, Rukun Negara harus dilihat sebagai kuasa dalaman yang berupaya membentuk akal budi rakyat yang sihat dan memiliki semangat patriotisme yang tinggi.

Ia perlu diterapkan melalui pelbagai dasar, program dan kempen oleh kerajaan agar sentiasa segar dan kukuh dalam jiwa setiap rakyat. – UTUSAN

MOHD. AYOP ABD. RAZID, Penganalisis sosiopolitik bebas

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya