Henti tuding jari, bantu mangsa tragedi Putra Heights

Henti tuding jari, bantu mangsa tragedi Putra Heights

SEMUA majikan, sama ada sektor awam atau swasta sekiranya kakitangan mereka menjadi mangsa tragedi Putra Heights tampil memberikan sokongan yang sewajarnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INSIDEN yang berlaku tidak seharusnya dianggap sebagai sekadar kegagalan infrastruktur. Ia adalah tragedi kemanusiaan yang meragut kedamaian hidup, harapan persaraan dan keselamatan keluarga.

Antara yang terkesan adalah pekerja termasuk ahli-ahli kesatuan yang sebelum ini menyumbang tenaga membina negara. Kini, saya difahamkan mereka hilang tempat berteduh, hilang ketenangan dan hidup dalam trauma.

Kepada semua mangsa, saya hulurkan simpati yang mendalam. Tetapi simpati semata-mata tidak cukup, ia harus disusuli dengan tindakan segera.

Saya mengambil kesempatan untuk menyeru semua majikan, sama ada sektor awam atau swasta sekiranya ada dalam kalangan kakitangan mereka yang turut menjadi mangsa agar tampil memberikan sokongan yang sewajarnya.

Bantuan kewangan, kelonggaran cuti dan akses kepada khidmat kaunseling bukan lagi pilihan, ia adalah tanggungjawab moral.

Trauma yang dialami mangsa, sama ada dari sudut fizikal atau emosi, sangat mendalam. Mereka tidak wajar menanggungnya bersendirian.

Dalam tragedi seperti ini, penduduk tidak hanya meminta pampasan. Mereka mengharapkan sokongan, ketelusan dan tindakan sewajarnya untuk membolehkan mereka meneruskan kehidupan.

Oleh itu, saya harap pihak-pihak lain juga turut tampil, atas dasar keprihatinan bersama. Dalam situasi sebegini, etika dan empati harus menjadi panduan, bukan semata-mata memberi kenyataan bahawa semua peraturan telah dipatuhi.

Saya juga harapkan agensi seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dapat menimbangkan skim khas bagi pekerja yang kehilangan tempat tinggal atau mengalami trauma akibat kejadian di luar jangkaan, seperti insiden ini.

Institusi kewangan pula boleh menawarkan moratorium tanpa faedah atau penyusunan semula pinjaman secara fleksibel agar mangsa tidak terus terbeban membayar ansuran rumah yang telah musnah.

Sementara itu, segelintir ahli politik mengambil kesempatan, menyalahkan sepenuhnya pihak tertentu demi meraih sokongan. Kenyataan sebegini bukan sahaja tidak adil, malah mengelirukan rakyat. Kita tidak boleh membiarkan tragedi ini menjadi permainan tuding jari.

Wajar untuk kita menghindar daripada permainan “siapa salah?”. Seharusnya penekanan harus diberi kepada “apa yang boleh kita lakukan bersama untuk bantu komuniti ini bangkit semula?”

Saya tidak bertujuan memberi sokongan kepada mana-mana pihak, malah jika terbukti wujud kelalaian operasi, biarlah tindakan sewajarnya diambil. Namun, jangan jadikan syarikat sebagai sasaran tunggal semata-mata hingga pihak lain yang turut berkepentingan terlepas dari tanggungjawab.

Kita kini berada dalam zaman di mana pembangunan dan infrastruktur kritikal saling bersilang. Ketahanan bandar tidak boleh hanya dipikul oleh pengendali utiliti. Pemaju, pihak berkuasa tempatan (PBT), perancang bandar dan pengawal selia, semua perlu bergabung dalam satu kerangka pengurusan risiko yang menyeluruh.

Penduduk Putra Heights yang rata-rata terdiri daripada golongan pekerja dan pesara berhak menerima lebih daripada sekadar simpati. Mereka berhak diberi jawapan dan penyelesaian. Mereka berhak mendapat sokongan kolektif dari semua pihak.

Saya harapkan insiden ini tidak ditenggelamkan oleh birokrasi dan keengganan untuk bertanggungjawab. Sekiranya ini berlaku, saya risau insiden seperti ini hanya menunggu masa untuk berulang.-UTUSAN

DATUK MOHAMED SHAFIE BP MAMMAL
Presiden Pusat Buruh UNI Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN