KOTA BHARU: Cubaan seorang lelaki melarikan diri dengan membawa 500 liter petrol yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran gagal selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh pembahagi jalan dan lampu isyarat di simpang Empat Cherang, di sini malam semalam.
Semasa serbuan, suspek berusia 32 tahun yang sedang mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Paya Bemban di sini telah bertindak melarikan sejurus menyedari kehadiran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) Kelantan Azman Ismail berkata, semasa melarikan diri kereta yang dipandu suspek telah terbabas dan melanggar pembahagi jalan serta lampu isyarat sebelum diberkas.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta terbabit telah menemukan 20 tong jerikin berisi petrol sebanyak 500 liter.
“Selain itu, kita turut temukan satu set pam elektrik tanpa jenama yang lengkap dengan hos paip, dipercayai digunakan untuk aktiviti pemindahan minyak secara haram,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Azman memberitahu, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku petrol tersebut akan diseludup ke negara jiran.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.-UTUSAN










