SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan kerajaan akan membawa masuk kira-kira 60,000 pengawal keselamatan warga asing dari Bangladesh, Pakistan dan Nepal yang menepati kriteria khas ditetapkan untuk memenuhi permintaan sektor keselamatan dalam negara.
Di sini saya ingin merayu agar kerajaan menarik balik keputusan untuk membenarkan rakyat Bangladesh dan Pakistan bekerja sebagai pengawal keselamatan. Satu aspek yang selalu diambil ringan dalam membuat keputusan mengenai pengambilan pekerja asing adalah isu gejala sosial melibatkan lelaki asing ini dengan gadis Melayu.
Sudah terlalu banyak dilaporkan di surat khabar tempatan mengenai isu gejala sosial seperti kes pelacuran, bersekedudukan, khalwat dan perkara sumbang lain yang bukan satu tuduhan kosong tapi memang benar banyak melibatkan lelaki warga asing dari Bangladesh dan Pakistan.
Lelaki asing ini ada kehendak biologi yang perlu dipenuhi apabila berjauhan dengan isteri masing-masing di negara mereka.
Dalam pada itu, amat menghairankan kerana seolah-olah kita sudah terlalu obses dengan pekerja Bangladesh. Tidak cukup lagikah 500,000 pekerja Bangladesh untuk mengisi jawatan kosong di negara kita sehingga perlu dibawa lagi 60,000 orang untuk menjaga keselamatan rakyat?
Menjadi pengawal tidak sama dengan bekerja sebagai buruh atau pekerja ladang sawit. Risikonya banyak melibatkan isu-isu keselamatan dan moral kerana mereka bekerja dekat dengan orang kita.
Pernahkah kerajaan membuat kajian berapa ramai pekerja Bangladesh, Pakistan dan Indonesia balik semula ke negara mereka setelah tempoh permit tamat?
Berapa ramai lagi terus tinggal di negara ini dan beranak pinak setelah bernikah dengan orang Malaysia?
Jikalau benar rakyat Malaysia terutama belia kita sudah berat tulang dan tidak mahu melakukan kerja berat, laksanakan segera kerahan tenaga supaya tiada lagi yang menganggur dan duduk di rumah sahaja. – UTUSAN
RAKYAT AMBIL BERAT, Kuala Lumpur