Kesukarelawanan pemangkin mahasiswa cemerlang

Kesukarelawanan pemangkin mahasiswa cemerlang

PARA mahasiswa perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran insaniah seperti keupayaan berkomunikasi dengan baik. – IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MAHASISWA pada abad ke-21 ini perlu mengadaptasikan diri dengan pelbagai norma baharu dan perkembangan terkini dalam kehidupan seiring peredaran zaman.

Mereka bukan sahaja perlu membiasakan diri dengan teknologi moden malah hendaklah bersiap siaga untuk melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi, pemikiran secara kritis dan pembelajaran sepanjang hayat.

Kemahiran sedemikian membolehkan mereka berdaya saing termasuk ketika menempuh alam pekerjaan setelah bergelar graduan.

Untuk melengkapkan diri dengan kemahiran sedemikian, mereka perlu menyertai pelbagai aktiviti seperti kesukarelawanan, sukan dan rekreasi serta khidmat masyarakat.

Mahasiswa perlu digalakkan melibatkan diri dalam aktiviti yang membawa kebaikan kepada diri mereka sendiri dan dapat meningkatkan nama baik universiti.

Antara boleh disertai adalah aktiviti kesukarelawanan yang akan membolehkan mahasiswa menyampaikan perkhidmatan secara ikhlas kepada negara dan rakyat dari segi memberi sumbangan ilmu pengetahuan dan tenaga.

Aktiviti kesukarelawanan juga penting untuk menyemai sikap tanggungjawab, nilai keprihatinan dan kebolehan bekerjasama yang tinggi dalam sanubari mahasiswa.

Dengan merujuk kepada Akta Pembangunan Belia dan Pertubuhan Belia 2007, definisi umur belia terkini selepas pindaan yang dijalankan pada 2019 adalah antara 15 hingga 30 tahun.

Mahasiswa yang juga sebahagian besar daripada golongan belia perlu memaksimumkan zaman remaja yang cukup berharga dengan menggalas amanah dan memainkan peranan untuk bergerak seiring dengan kerajaan dalam membangunkan komuniti.

Aktiviti kesukarelawanan ialah komponen teras yang mustahak bagi diterapkan dalam kehidupan mahasiswa untuk memupuk sikap peka terhadap masyarakat sekeliling dan mengukuhkan ukhuwah sesama mahasiswa.

TUTOR

Elemen yang sangat signifikan dalam aktiviti kesukarelawanan adalah sifat sukarela, niat suci, ikhlas, altruisme (mengutamakan kebajikan) dan komitmen serta usaha tinggi untuk menabur bakti demi kebaikan masyarakat umum.

Dalam pada itu, mahasiswa boleh mengaplikasikan semangat kesukarelawanan ketika berada dalam kampus dengan membantu rakan-rakan mahasiswa lain yang mungkin mengalami kesulitan untuk mengakses laman web pembelajaran dan juga internet serta mahasiswa yang tiada bahan pembelajaran serta peralatan untuk belajar seperti komputer riba, bahan rujukan ilmiah dan peranti bagi mengikuti kelas.

Contohnya, mahasiswa dan badan persatuan mahasiswa boleh menyatukan tenaga dan modal untuk mendapatkan bahan pembelajaran yang diperlukan oleh rakan-rakan mereka.

Seperkara lagi, mahasiswa juga boleh secara sukarela berkongsi bahan pembelajaran seperti dalam bentuk e-buku, nota ringkas, pembentangan slaid dan lain-lain untuk memastikan mereka dapat mengikuti kelas dengan berkesan.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, mahasiswa perlu peka tentang kehidupan rakan-rakan lain dan cuba sebaik mungkin untuk membantu mereka.

Mahasiswa boleh meluangkan masa secara sukarela menjadi tutor sukarelawan dan pembimbing rakan sebaya untuk membantu rakan-rakan yang memerlukan tunjuk ajar dan bantuan dalam akademik dengan berkongsi ilmu dan topik pelajaran bersama mereka dalam usaha memastikan semua mahasiswa dapat memahami topik pembelajaran.

Dalam usaha untuk meningkatkan penglibatan diri dalam aktiviti kesukarelawanan, mahasiswa boleh menawarkan diri membantu dalam persediaan dan penganjuran program universiti, komuniti setempat dan juga kerajaan.

Contoh program kesukarelawanan adalah seperti aktiviti gotong-royong, pembersihan pantai dan skuad sukarelawan pascabanjir. – UTUSAN

LIM SAN SHIEN, Presiden Persatuan Pemimpin Muda Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya