fbpx

Kempen antimerokok gagal kurang bilangan perokok

VAPE dikatakan terbukti berkesan bagi mengurangkan tabiat merokok.

SAUDARA PENGARANG,

DIFAHAMKAN Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan Akta Kawalan Tembakau yang baharu pada bulan depan.

Sememangnya akta itu amat ditunggu-tunggu kerana ia memberi peluang kepada kerajaan untuk membuktikan bahawa mereka mempunyai pendekatan baharu untuk memerangi tabiat merokok.

Sebagai seorang perokok tegar yang kini sudah hampir berjaya meninggalkan tabiat buruk ini, saya berpendapat ada beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh kerajaan dalam menggalakkan lebih ramai lagi rakyat menghindari tabiat merokok.

Pertama, kerajaan perlu sedar strategi yang digunakan sebelum ini bagi menggalakkan orang ramai menghentikan tabiat itu tidak berkesan.

Walaupun setelah beberapa dekad mengadakan kempen antimerokok, masih terdapat hampir lima juta penduduk Malaysia yang merokok. Jumlah ini masih sama seperti dua dekad lalu walaupun harga sekotak rokok sudah melambung naik lebih empat kali ganda.

Mana silapnya? Lebih kerap kerajaan memaparkan mesej supaya menolak rokok, semakin membuak-buak keinginan rakyat untuk merokok.

Wang yang dibelanjakan untuk kempen antimerokok mungkin berjumlah ratusan juta ringgit sejak 1990-an. Semakin tinggi cukai dikenakan kerajaan, semakin menjadi-jadi kegiatan penyeludupan rokok haram.

Kedua, kerajaan perlu menggalakkan produk alternatif kian popular seperti rokok elektronik (vape) dan produk tembakau lain yang hanya perlu dipanaskan seperti di Jepun dan Korea Selatan.

Jangan jadi seperti Singapura di mana kerajaan republik itu mengharamkan produk alternatif kepada rokok yang menyebabkan generasi muda masih terpalit dengan tabiat merokok.

Langkah menggunakan vape termasuk dalam strategi pengurangan kemudaratan tembakau (THR). Strategi ini hangat diperdebatkan dalam komuniti pakar kesihatan.

Namun, jika kita lihat kepada negara-negara seperti United Kingdom yang mengarusperdanakan pendekatan THR, terdapat penurunan ketara dalam bilangan perokok tegar.

Menurut Pengarah Urusan Datametrics Research and Information Centre (Dare), Pankaj Kumar dalam satu video temu bual yang tular baru-baru ini, jika pendekatan THR digunakan di Malaysia, kelaziman merokok dapat dikurangkan dan mampu membawa penjimatan kos rawatan lebih RM1 bilion setahun yang ditanggung kerajaan hari ini.

Jadi, jika kerajaan benar-benar serius tentang mengurangkan bilangan perokok tegar, sepatutnya kerajaan perlu mengambil kira pendekatan-pendekatan alternatif seperti THR.

Masanya telah tiba untuk kita mengadakan dialog yang inklusif antara semua pihak untuk mencari penyelesaian tepat kepada gejala merokok.

Baru-baru ini, dalam satu tinjauan oleh firma penyelidikan bebas, Povaddo mendapati banyak responden mahu kerajaan membuat keputusan berdasarkan fakta sains termasuk dalam soal keberkesanan vape mengurangkan tabiat merokok.

Jika kita benar-benar berpegang kepada data dan fakta sains sepertimana yang dihujahkan kerajaan untuk menggalakkan orang ramai mengambil suntikan vaksin Covid-19, apakah kita tidak boleh menggunakan pendekatan sama dalam soal rokok?

Kerajaan perlu mengkaji keberkesanan produk alternatif tembakau untuk mengurangkan tabiat merokok berdasarkan kajian-kajian dilakukan oleh ahli sains.

Kerajaan mempunyai peluang amat besar dalam memerangi rokok melalui Akta Kawalan Tembakau yang baharu ini. Jangan disia-siakan peluang ini dengan pemikiran sempit dan tidak mengambil kira trend yang sedang berlaku di serata dunia. – UTUSAN

AHMAD SALMI MOHD. JUNID, Cyberjaya

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!