Kehidupan kampus kembali meriah

Kehidupan kampus kembali meriah

PELAJAR kini kembali memeriahkan suasana kampus dalam sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SETELAH hampir dua tahun mahasiswa mengikuti kelas secara dalam talian, kini kebanyakan mereka sudah kembali ke kampus untuk mengikuti pembelajaran secara bersemuka atau hibrid.

Sudah semestinya suasana di kampus menjadi kenangan yang sentiasa dirindui sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran dalam talian.

Antara situasi yang sentiasa menggamit memori pelajar adalah menunggu bas di dalam kampus. Perhentian bas selalunya meriah dengan mahasiswa terutama ketika waktu puncak.

Lain-lain adalah sesi diskusi dan menyiapkan tugasan bersama rakan di kafeteria, medan selera sentiasa penuh dengan pelajar yang tekun menyiapkan tugasan. Begitu juga ketika waktu petang apabila kompleks sukan di universiti menjadi tumpuan pelajar beriadah. Ada yang bermain bola sepak, bola keranjang, tenis, sepak takraw, badminton dan berjoging.

Hujung hujung minggu merupakan saat paling dikenang kerana ketika itu pelajar memenuhi masa terluang dengan berjalan melihat tempat-tempat menarik, membeli barangan keperluan dan tidak kurang mengambil kesempatan mengunjungi restoran atau kedai makan.

Inilah kenangan yang pasti dirindui pelajar sepanjang tempoh dua tahun terperap di rumah. Jadi, kembalinya mereka ke kampus ibarat mengembalikan semula roh kehidupan kampus yang telah hampir dua tahun ‘terkubur’ sepi.

Kampus pengajian sewajarnya menjadi suatu arena yang menghimpunkan kenangan indah dalam setiap orang bergelar mahasiswa. Proses pembelajaran yang dilalui bukan sahaja menyediakan mereka untuk menjadi seorang profesional dalam bidang pengajian malah turut membentuk sahsiah, keperibadian, jati diri dan mengasah kemahiran-kemahiran survival dalam kehidupan kelak.-UTUSAN

NURSYUHADA’ AB WAHAB
Fakulti Pengajian Bahasa Utama
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya