Tidak wajar beritahu awal waktu pemantauan rumah sembelihan

Tidak wajar beritahu awal waktu pemantauan rumah sembelihan

JAKIM perlu segera tubuh satu badan siasatan bagi menyiasat kepincangan integriti melibatkan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berhubung isu pelanggaran protokol halal sebuah rumah sembelihan di Australia. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BERDASARKAN laporan Utusan Malaysia bertajuk Buktikan Cara Sembelihan Dalam Rakaman Video Tak Salah bertarikh 27 April 2022, saya tertarik dengan isu yang dikemukakan iaitu berkaitan dengan teguran oleh satu sumber terhadap waktu pemantauan atau audit dimaklumkan seawal dua minggu kepada syarikat yang terlibat dengan rumah sembelihan.

Saya bersetuju dengan teguran itu kerana pengauditan berkaitan perkara halal oleh pihak berautorti adalah tidak sesuai dimaklumkan lebih awal kepada rumah sembelihan kerana akan memberi ruang kepada pihak terlibat menyembunyikan tindakan salah laku sepanjang proses sembelihan dilaksanakan. Oleh yang demikian, tindakan terbaik ialah dengan cara mengejut kerana lebih menampakkan realiti sebenar yang berlaku, berbanding pihak terlibat ‘berlakon’ untuk menutup kesalahan dilakukan.

Persoalan yang timbul, adakah untuk melaksanakan audit terhadap rumah sembelihan oleh pihak berautoriti, wajib diberitahu kepada pihak terlibat terlebih dahulu sebelum dilaksanakan? Jika ini berlaku, cara yang diamalkan itu adalah tidak wajar dan tidak sesuai kerana kemungkinan tindakan salah laku oleh pihak yang terlibat dengan rumah sembelihan tidak dapat dihidu oleh pihak pengaudit, sedangkan amalan harian yang dilakukan berbeza sama sekali seperti ketika diaudit.

Mungkin di sesetengah tempat, pemberitahuan lebih awal sesuai agar pihak terlibat dapat membuat persediaan dari sudut fail yang diperlukan dengan tujuan meringkaskan masa seperti yang dilaksanakan di institusi pendidikan, pengajian tinggi dan sebagainya. Namun, untuk tujuan halal makanan umat Islam, ia perlu dilakukan secara menyeluruh dan teliti, bukan sekadar mengaudit dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) di atas kertas semata-mata.

Masyarakat akan tahu salah laku yang berlaku selepas didedahkan menerusi video tular dan seumpamanya. Perkara seperti ini amat merisaukan umat Islam kerana kelemahan sistem pemantauan oleh pihak berwajib.

Dalam hal halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah satu badan berautoriti yang bertanggungjawab untuk memastikan proses penghalalan makanan dikuatkuasakan oleh pihak yang terlibat dengan rumah sembelihan. Sekiranya terdapat keraguan, Jakim perlu menyiasat hal itu dan mengambil tindakan segera sekiranya pendedahan itu adalah benar.

Saya mencadangkan agar pihak berwajib ‘menyedarkan’ mereka tentang pengawasan Allah SWT. Hal ini kerana sistem pemantauan atau pengauditan manusia ada kelemahannya. Secanggih mana pun sistem pengauditan, manusia masih boleh mengelak diri daripada tindakan oleh pihak berkuasa berkaitan pelanggaran terhadap piawaian yang ditetapkan.

Oleh yang demikian, ingatan terhadap pengawasan Allah perlu disedarkan selalu agar pemantauan yang dilakukan bertepatan dengan kehendak Islam iaitu adanya unsur keimanan kepada Allah dan hari akhirat, bukan sekadar pemantauan di atas kertas semata-mata.-UTUSAN

DR. MOHD. MURSHIDI MOHD NOOR
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya