Masyarakat Islam perlu kuasai AI - PM

Masyarakat Islam perlu kuasai AI – PM

ANWAR Ibrahim berucap sewaktu Program Perkampungan Sunnah Siri Ke-9 di Masjid Alwi, Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Masyarakat Islam di negara ini perlu menguasai penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin digunakan secara meluas oleh semua pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya gagal menguasai AI dan tranformasi digital, masyarakat Islam akan kalah berikutan semua bidang kini memerlukan penggunaan teknologi tersebut.

Beliau berkata, penguasaan teknologi itu adalah amat penting bagi membolehkan masyarakat Islam menetapkan nilai AI tersebut.

“Kalau kita tak kuasai AI, transformasi digital, kita akan kalah kerana dalam semua bidang seperti pengurusan kerajaan, ketenteraan, polis, Imigresen, swasta dan pertanian akan dikuasai AI.

“Kita kena kuasai (AI) agar kita dapat tetapkan nilai AI itu,” katanya ketika berucap pada program Perkampungan Sunnah Siri Ke-9 yang bertajuk Jihad Membina Negara di Masjid Alwi di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Dalam pada itu, Anwar berkata, menerusi pertemuannya bersama Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella baru-baru ini, pihak terlibat menyatakan bahawa umat Islam yang menguasai AI dapat mengadaptasi nilai agama ke dalam pentafsiran teknologi berkenaan.

“Saya telah bertanyakan kepada beliau apakah nilai yang boleh dibentuk pada AI kerana kita tak mahu ikut atau wujudkan AI yang ditentukan oleh Barat dan Amerika Syarikat (AS).

“Jawapan dia itu semua adalah pada rakyat Malaysia, kepada umat Islam yang menentukan dan menguasai perisian AI itu ikut iklim dan persekitaran bahawa nilai agama, akhlak dan moral itu juga masuk dalam pengertian serta pengisian AI,” katanya.

Tambahnya, minat anak Melayu pada masa kini terhadap mata pelajaran Matematik dan Sains juga semakin menurun malah golongan jurutera di negara ini hanya seramai 30,000 orang.

“Penguasaan AI itu tidak akan tercapai jika kita tak mempunyai pemikiran asas ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN