JOHOR BAHRU: Kemenangan besar yang diraih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini merupakan tanggungjawab besar yang akan dipikul sebaiknya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terpilih.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya bersyukur dan berterima kasih dengan kejayaan yang diraih setelah kerjasama semua pihak khususnya sepanjang tempoh dua minggu berkempen sejak Hari Penamaan Calon pada 27 Jun lalu.
“Syukur Alhamdulillah, BN Johor telah memenangi lebih daripada 40 kerusi hari ini. Dengan penuh rasa rendah hati, saya bagi pihak kepimpinan BN Johor ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh Bangsa Johor yang telah beri mandat begitu memberangsangkan.
“Kepada wakil rakyat baharu menang, kita ada tanggungjawab besar, mandat diberikan adalah untuk menjaga seluruh Bangsa Johor, sama ada menyokong kita atau tidak, itu tak penting.
“Apabila kita dah menang, Bangsa Johor yang dikasihi, kita akan jaga semua, Melayu, Cina, India dan orang Asli, kita semua Bangsa Johor,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama (BGU) BN bertempat di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor, di sini malam ini.
Tambah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu, pihaknya akan terus berkhidmat menyantuni rakyat sebaik mungkin.
“Wakil rakyat BN akan terus berkhidmat, santuni rakyat, selesaikan isu rakyat secara lebih baik, itu komitmen kami apabila dapat mandat sebegini rupa.
“Sama-sama kita rapatkan saf, buang yang keruh ambil yang jernih. Musim pilihan raya sudah berakhir. Sekarang tanggungjawab adalah untuk bina Johor yang kita impikan bersama, Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN







