PRK Kuala Kubu Bharu: Sock Tao garis lima teras dalam manifesto - Utusan Malaysia

PRK Kuala Kubu Bharu: Sock Tao garis lima teras dalam manifesto

PRK manifesto
PANG Sock Tao membentangkan manifestonya pada Ceramah Mega Perpaduan PRK Kuala Kubu Bharu dekat Bandar Utama Batang Kali, di Hulu Selangor, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Kerajaan Perpaduan menggariskan lima teras utama dalam manifesto yang ditawarkan kepada pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.

Lima teras tersebut merangkumi ekonomi, kemudahan awam, alam sekitar dan rekreasi, warisan dan budaya serta kesejahteraan dalam usaha untuk memperkasakan kawasan Kuala Kubu Bharu selain menjaga kebajikan penduduknya.

Calon Kerajaan Perpaduan pada PRK tersebut, Pang Sock Tao berkata, ia adalah ikrar yang dibuatnya sekiranya dipilih pada 11 Mei untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada semua penduduk di situ tanpa mengira warna kulit, agama, budaya, ataupun latar belakang.

Menurutnya, manifesto tersebut adalah hasil maklum balas yang diterima daripada penduduk Kuala Kubu Bharu selepas hampir seminggu berkempen dan juga hasil kajian yang dijalankan oleh beliau sendiri bersama pasukannya.

“Mendiang Lee Kee Hiong banyak berusaha dalam membangunkan industri pelancongan. Sama seperti mendiang, saya percaya Kuala Kubu Bharu memiliki potensi yang besar dalam menarik lebih ramai pelancong lagi dan akan teruskan legasi Kee Hiong dalam memajukan industri pelancongan Kuala Kubu Bharu. 

“Apabila membincang berkenaan dengan kemudahan awam, saya percaya bahawa seluruh warga KKB ada satu impian yang sama kita semua mahu internet yang laju dan liputan yang baik.

“Jika saya dipilih, saya akan memperjuangkan impian ini dengan Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital supaya impian kita boleh direalisasikan,” katanya pada Ceramah Mega Perpaduan PRK Kuala Kubu Bharu, malam tadi.

Dalam PRK Kuala Kubu Bharu, Sock Tao bertanding dalam saingan empat penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut; Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin dan calon bebas, Nyau Ke Xin.

Seramai 40,226 pengundi dijadualkan keluar mengundi pada 11 Mei ini untuk mengundi, sementara pengundi awal, 763 orang pula akan menjalankan tanggungjawab mereka pada 7 Mei.

Dalam pada itu, Sock Tao turut menekankan tentang alam sekitar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dan enggan membiarkan kemusnahan alam semula jadi atas nama pembangunan.

“Hulu Selangor adalah kawasan sumber tadahan air utama yang membekalkan bekalan air kepada penduduk di Selangor. Daerah itu juga adalah paru-paru hijau Selangor dengan 50 peratus kawasan di situ diliputi Hutan Simpan Kekal.

“Saya akan meneruskan usaha mendiang Kee Hiong untuk menjalin kerjasama rapat dengan Kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan alam sekitar yang indah di Kuala Kubu Bharu tidak terjejas atas nama pembangunan. Kita mahu pembangunan yang mampan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN