Aksi TFC tempang tanpa Akhyar - Utusan Malaysia

Aksi TFC tempang tanpa Akhyar

PEMAIN TFC, Muhammad Safawi Rasid (tengah) dikawal ketat dua pemain KDN dalam aksi pra-musim di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Ketiadaan Akhyar Rashid menjejaskan aksi Terengganu FC (TFC) apabila sekadar seri 0-0 dengan Kelantan Darul Naim (KDN) dalam aksi pra-musim di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.

Pemain sayap itu terpaksa disisihkan setelah menjadi mangsa samun, semalam sehingga menerima enam jahitan dengan tempatnya dalam kesebelasan utama diisi Norhakim Hassan.

TFC bermula baik menerusi percubaan leret Ismaheel Akinade seawal minit ke-10, namun pelawat bangkit menyaksikan tandukan Michael Jerabek yang terkena tiang pada minit ke-14.

Skuad Penyu kemudian terus memiliki peluang keemasan namun percubaan berturut-turut pemain tengah, Manuel Ott, pada minit ke-18 dan ke-19 turut terkena tiang.

Rentak permainan selepas itu memihak KDN selepas rembatan leret penyerang utama, Valdumar Augusto minit ke-36 diselamatkan penjaga gol TFC, Syed Muhd. Nasrulhaq Syed Bidin.

Bersambung babak kedua, TFC makin tenggelam apabila terus diuji mujur rembatan Muhammad Faizal Talib minit ke-49 disusuli tolakan Jerabek (m-53) tinggi melepasi sasaran.

Kehilangan Akhyar yang sebelum ini lincah di sebelah kiri ternyata dirasai TFC sehingga mereka hanya memiliki satu percubaan tepat menerusi sepakan percuma Marin Pilj pada minit ke-73.

Sebaliknya KDN tampil lebih bertenaga namun gagal mengambil kesempatan apabila dikecewakan ketumpulan penyudah memaksa permainan berakhir seri tanpa jaringan.

Ketiadaan Akhyar yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) pasti merunsingkan Tomislav Steinbruckner menjelang sepak mula Liga Super bertemu Perak di laman sendiri pada 11 Mei ini.

Tonggak Harimau Malaya itu menerima empat jahitan di bahagian kepala dan dua di bahagian kaki setelah disamun dua lelaki tidak dikenali di perkarangan apartment yang didiaminya, semalam.

Kejadian berlaku setelah Akhyar, 25, turun dari kenderaannya sebelum dihampiri dua lelaki berpakaian jaket ‘hoodie, bertopeng dan bersenjatakan besi boleh laras yang bertindak memukulnya sehingga rebah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN