fbpx

30 Jun 2022, 9:56 am

  TERKINI

Semangat Keluarga Malaysia memeriahkan hari raya

PENULIS (berdiri dua dari kanan) bersama rakan sekerja bergambar kenangan sempena Aidilfitri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BUANG yang keruh, ambil yang jernih. Peribahasa tersebut bermain di fikiran saya sepanjang cuti umum Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini. Ini didorong oleh sifat bermaaf-maafan yang ditunjukkan oleh semua rakan sekerja sebelum bergerak pulang ke kampung masing-masing.

Tidak asing untuk saya mendengar ucapan selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin oleh rakan sekerja di pejabat. Di mana saya juga akan membalas ucapan tersebut dengan ayat serupa.

Ia adalah amalan yang bukan sahaja berlandaskan prinsip hormat menghormati malahan adalah sesuatu yang sangat menyentuh hati.

Kita perlu menghayati maksud ucapan tersebut. Pada saya ucapan tersebut adalah lebih daripada nilai permukaan. Ia merupakan sesuatu yang mulia dan ikhlas.

Justeru, saya menyeru semua pihak untuk sentiasa muhasabah diri. Jangan melakukan kesilapan yang sama, jangan simpan dendam atau sengketa. Kita semua perlu membuang sikap ego dalam diri.

Masyarakat Malaysia mengutamakan soal budi bahasa dan ini jelas apabila semua orang memang bersopan santun semasa Ramadan dan sambutan Aidilfitri.

Namun, pengamalan pertuturan dan tingkah laku yang baik tidak patut hanya dihadkan kepada musim perayaan sahaja. Jadikannya satu amalan hidup seharian.

Dalam pada itu, perlu ingat bahasa mencerminkan keperibadian seseorang. Oleh itu, eloklah kita menjaga pertuturan masing-masing.

Jangan membenarkan emosi mengawal lidah. Sentiasa berhemah dan bersopan santun. Perbuatan tersebut tidak susah dan tidak payah malah tidak melibatkan sebarang kos.

Perkara ini memang sejajar dengan semangat Keluarga Malaysia yang merupakan pengerat perpaduan antara kaum.

Rakyat Malaysia telah mengharungi banyak cabaran dan musibah bersama. Namun, apa yang pasti kemenangan dan kejayaan yang dicapai adalah hasil sumbangan semua pihak tanpa mengira kaum dan agama.

Inilah Malaysia yang kita kenal. Inilah Malaysia yang kita cinta. – UTUSAN

YEAP MING LIONG, Subang Jaya, Selangor

POPULAR

KOSMO! TERKINI