Lelongan spektrum 5G tidak mesra rakyat

Lelongan spektrum 5G tidak mesra rakyat

MASALAH capaian internet yang lemah di luar bandar sehingga memaksa murid masuk ke dalam kebun adalah antara cabaran untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dengan berkesan ketika tempoh pandemik Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ADA pandangan menyatakan bahawa beberapa negara mendapat keuntungan daripada langkah melelong spektrum 5G kepada syarikat telekomunikasi (telco). Adakah model lelongan ini sesuai dilaksanakan di Malaysia? Semestinya tidak.

Ini kerana nama baik atau reputasi telco yang selama ini sebagai pembangun 4G diperakui gagal oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sehingga kerajaan terpaksa mengeluarkan wang tambahan untuk memulihara pelaksanaan projek ini.

Kerajaan terpaksa campur tangan untuk memberi suntikan dana demi pembangunan 5G yang lebih berkesan. Dalam inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela), sebanyak RM9.4 bilion dikeluarkan kerajaan semata-mata untuk membantu telco membangunkan 4G dalam fasa satu.

Malah kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan liputan 4G daripada 91.8 pertaus kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk. Selain itu, kerajaan terpaksa menyasarkan untuk mendirikan lebih 400 menara baharu di Sabah dan Sarawak dan menaik taraf hampir 2,000 pemancar sedia ada.

Persoalannya, di mana kemampuan telco membangunkan projek 4G sehingga kerajaan terpaksa memberi suntikan modal?

Sekiranya kerajaan terpaksa menutup lompang-lompang yang telco lakukan, maka lebih baik kerajaan sendiri yang melaksanakan projek ini sepenuhnya.

Kajian Open Signal merekodkan liputan internet generasi semasa masih pada takat 88.8 peratus sehingga penghujung 2021 di kawasan bandar. Liputan di kawasan pinggir bandar berada pada tahap sederhana. Selepas 10 tahun dibangunkan, telco masih tidak dapat merapatkan jurang digital.

Model menerusi persetujuan penawaran oleh SKMM bersama telco adalah lebih realistik bersandarkan kepada kapasiti dan kemampuan syarikat untuk ‘langgan’ tawaran daripada SKMM.

Sebenarnya kerajaan boleh bertindak lepas tangan dan melelongkan projek ini tetapi ia bukanlah pendekatan mesra rakyat tetapi mesra korporat. Maka langkah terbaik adalah dengan pembangunan projek 5G ini diberikan kepada Digital Nasional Berhad (DNB) di bawah Kementerian Kewangan.

DNB pula mengekalkan Rangkaian Borong Tunggal (SWN) agar pembinaan menara dapat dipasang di seluruh negara. Ini bagi mengatasi faktor permintaan yang diutamakan telco. Selama ini faktor geografi beberapa kawasan khususnya di Sabah dan Sarawak menjadi halangan kepada telco tempatan sehingga terpaksa berdolak-dalik dengan alasan akses yang sukar bagi tujuan penyediaan menara telekomunikasi.

Akhirnya, kerajaan membuat keputusan yang tepat melalui mesyuarat Kabinet dengan mengekalkan konsep SWN. Pemancar 5G akan tersebar luas di seluruh pelosok negara.

Oleh sebab itu, kerajaan yakin dengan model penawaran ekuiti 30 hingga 70 peratus antara telco dan DNB boleh memangkin pelaksanaan rangkaian 5G negara.

Membandingkan cara negara luar kepada pengurusan dan perniagaan serta ekosistem digital tempatan adalah tidak adil kerana Malaysia terkenal dengan keberkesanan model perkongsian awam-swasta yang kukuh serta pembiayaaan sektor swasta yang mantap. Ini antara kunci tarikan dan keyakinan para pelabur asing di negara ini.

Malah, terpateri dalam lipatan kejayaan Malaysia ketika dilanda krisis ekonomi serantau lewat 1990-an. Langkah tersendiri Malaysia melalui tambatan ringgit ketika itu berjaya mengendurkan kesan ketidaktentuan nilai mata wang negara sehingga diperakui oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.-UTUSAN

MOHD. ZULFADHLI KHAIRUDDIN
Pensyarah UniKL

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya