KUALA LUMPUR: Golongan muda digesa menolak permainan politik berasaskan kaum yang dimainkan oleh `generasi lama’ bagi mengelak perpecahan dalam kalangan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak semua pimpinan politik di Malaysia mempunyai pemahaman tentang pentingnya penyatuan dalam kalangan rakyat menyebabkan hingga kini masih melontarkan idea berasaskan kaum.
Anwar berkata, beliau tidak pernah menafikan bahawa Melayu merupakan kaum majoriti, dan keperluan untuk menjaga kumpulan itu perlu diberikan pertimbangan serta keutamaan.
“Tetapi ini negara Malaysia, dalam konsep negara Madani ini, sementara kita akui kenyataan kaum, agama berbeda, harus ada semangat baharu dalam kalangan anak-anak muda.
“Saya selalu pesan, masa depan itu tergantung pada kesediaan anak muda untuk menolak tembok perkauman sempit oleh bapa-bapa dan ibu-ibu kita dalam politik picisan, bangkit sebagai kekuatan baharu, kuatkan semangat kita,” katanya di Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Mahasiswa India di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dan Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra), P. Prabakaran.
Anwar berkata, negara sedang bergelut dengan perkembangan geopolitik dan pertempuran yang tidak menentu.
“Tetapi Alhamdulilah kerana sehingga kini keadaan masih terkawal walaupun kesan yang rakyat alami terutama harga barang, keperitan peniaga-peniaga itu mula dirasai sedikit. Saya mohon kerjasama rakan-rakan supaya menjelaskan hal demikian.
“Dari segi negara, prestasi tahun lalu dan suku pertama tahun ini sangat membanggakan. Pertumbuhan ekonomi, pengurangan kadar pengangguran dan pelaburan tertinggi dalam sejarah, prestasi ringgit terbaik di rantau. Itu semua kita capai,” katanya. – UTUSAN










