KUALA LUMPUR: Semua pihak digesa agar tidak membuat sebarang interpretasi yang negatif berhubung cadangan pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pindaan itu bertujuan memastikan landasan asal penubuhan agensi tersebut kekal utuh dan tidak tersasar.
Menurutnya, Mara ditubuhkan melalui penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) pada tahun 1965 perlu mempunyai kekuatan perundangan yang tetap bagi menjamin kelangsungan fungsinya.
“Akta ini dibuat supaya kita kembali kepada landasan asal dan supaya tata kelola
pengurusan Mara ini tidak lari apabila ketua pengarah tukar, pengerusi bertukar, Menteri yang jaganya bertukar, malah yang paling menyedihkan jika kerajaan bertukar sekalipun.
“Akta itu tetap akan digunakan bukan hanya sebagai panduan, tetapi ia mesti dan
wajib diikuti. Itulah tujuannya (pindaan dibuat),” katanya semasa sidang media selepas penutupan Musyawarah Nasional di ibu negara, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, sejarah penubuhan Mara yang bermula dengan nama Lembaga Kemajuan Perusahaan dan Kampung (RIDA) harus terus berada di landasan yang betul tanpa dipengaruhi oleh perubahan kepemimpinan.
“Jangan ada interpretasi yang negatif ataupun yang berbeza-beza. Ini adalah maksud sebenar yang dibuat oleh pihak Mara sendiri melalui keputusan oleh mesyuarat ahli-ahli majlisnya,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan draf pindaan Akta Mara 1966 diserahkan kepadanya dalam tempoh tiga bulan.
Perdana Menteri berkata, pindaan akta itu adalah selaras dengan tujuh tujahan dalam Gagasan 40 Tahun Mara yang dirangka sebagai pelan memastikan institusi itu muncul sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi Bumiputera yang lebih inklusif, berdaya saing serta mampu menembusi pasaran global.
Selain itu, Anwar juga mahu Mara berperanan sebagai payung besar ekonomi dan pusat sehenti bagi pembangunan Bumiputera. – UTUSAN










