‘Lebih baik tambah kerusi DUN daripada lantikan ADUN’

‘Lebih baik tambah kerusi DUN daripada lantikan ADUN’

TEO Nie Ching (duduk, tengah) pada Majlis Sumbangan Pelajar Cemerlang SPM 2025 Parlimen Kulai di Kulai, Johor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: DAP Johor berpandangan tindakan persempadanan semula adalah langkah terbaik berbanding lantikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa kawasan yang ditadbir.

Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, pendirian DAP adalah jelas dan tidak menghalang usaha untuk menambah bilangan ADUN di Johor namun perlu melalui saluran yang betul dengan mengadakan pilihan raya umum (PRU).

“Di Johor, ada enam kawasan DUN yang mempunyai jumlah pengundi lebih 100,000, ada juga kawasan DUN yang mempunyai jumlah pengundi yang rendah sekitar 30,000 sahaja, ini mewujudkan ketidakseimbangan.

“Jadi, daripada membuat lantikan ADUN, cadangan yang lebih sesuai adalah untuk tambah bilangan kerusi lagi (persempadanan semula) dengan ADUN mendapat mandat secara sah daripada pengundi semasa PRU,” katanya pada Majlis Sumbangan Pelajar Cemerlang SPM 2025 Parlimen Kulai di sini hari ini.

Pada Khamis lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor meluluskan usul Rang Undang-undang (RUU) Tubuh Kerajaan Johor 1985 Bahagian Kedua Fasal 15 berhubung ADUN lantikan selepas mendapat sokongan dan persetujuan majoriti 40 daripada 56 ADUN di Johor.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika membacakan usul itu buat kali kedua berkata, dalam konteks pembangunan Johor yang pesat dan kemasukan pelaburan baharu, cadangan pindaan RUU itu diyakini dapat mengukuhkan keupayaan kerajaan negeri dalam menilai dan membuat keputusan lebih menyeluruh.

Semalam, Timbalan Pengerusi DAP kebangsaan, Nga Kor Ming berkata, Pakatan Harapan (PH) membantah keputusan itu yang jelas menjejaskan sistem demokrasi berparlimen negara.

Beliau berkata, PH akan mengadakan kempen mengutip tandatangan rakyat Johor bagi membantah perkara itu dalam waktu terdekat.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, bagi langkah persempadanan semula, kerajaan negeri juga perlu pastikan bahawa saiz untuk setiap DUN hampir sama bagi membolehkan ADUN menghargai setiap undi yang diberikan pengundi.

“Saya melihat tiada alasan perkara ini tidak dapat dilakukan. Jika ini dapat dilaksanakan, saya rasa DAP akan sokong usul bagi menambah bilangan ADUN di Johor,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN