KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk memotong subsidi petrol bagi golongan berpendapatan tinggi bagi membantu negara mengharungi keadaan ekonomi semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan tersebut sudah diteliti oleh Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK), Tan Sri Mohd Hassan Marican di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), sejak sebulan lalu.
Beliau berkata, kerajaan melakukan penilaian teliti pendekatan sesuai mengenai cadangan pemotongan subsidi bagi kumpulan berpendapatan tinggi bagi memastikan ia boleh dilaksanakan secara berkesan dan tidak menjejaskan kumpulan itu.
“Cuma tidak pasti sama ada T2O atau T15, supaya tidak membebankan kelas menengah atas dan kemudian mudah pelaksanaannya,” katanya ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Mahasiswa India di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, Pemuda UMNO akan membawa usul menarik balik subsidi petrol bagi golongan T20 ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu sebagai antara resolusi utama hasil Rundingan Meja Bulat Nasional (Rimbun 2.0).
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, langkah rasionalisasi dan subsidi bersasar itu penting ketika negara berdepan cabaran ekonomi susulan konflik di Asia Barat ketika ini.
Menurutnya, subsidi yang dinikmati golongan berpendapatan tinggi tidak memberi kesan besar kepada mereka berbanding manfaat yang boleh dirasai kumpulan berpendapatan rendah.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, cadangan tersebut akan dimuktamadkan tidak lama lagi selepas penelitian tersebut.
“Kita tidak mahu ia memberi kesan kepada kumpulan menengah atas jadi harap ia dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, Anwar enggan mengulas mengenai pelan berkaitan kesinambungan bekalan minyak negara yang bakal diumumkan oleh beliau pada pertengahan bulan ini.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebelum ini dilaporkan berkata, pelan bakal diumumkan Anwar itu dijangka memfokuskan kepada usaha memastikan bekalan minyak domestik kekal mencukupi bagi menyokong kelangsungan aktiviti ekonomi negara selepas kerajaan sebelum ini memberi jaminan bekalan semasa mampu bertahan sehingga Jun.
Beliau berkata, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) kini pada peringkat akhir memuktamadkan sumber bekalan baharu bagi memastikan kesinambungan bekalan minyak negara dalam tempoh seterusnya. – UTUSAN










