Had tempoh jawatan PM tidak beri kesan pada negeri

Had tempoh jawatan PM tidak beri kesan pada negeri

AZALINA semasa menghadiri Sesi Perjumpaan Awam (townhall) Kerangka Akauntabiliti Madani di Akademi Perundangan Negara (APN) di Bandar Baru Bangi, di sini hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cadangan mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun tidak memberi kesan kepada pentadbiran di peringkat negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu hanya melibatkan jawatan Perdana Menteri di peringkat Persekutuan dan bertujuan mengehadkan tempoh seseorang memegang kuasa terlalu lama.

Beliau berkata, ramai Perdana Menteri sebelum ini bercakap mengenai perkara tersebut, namun tidak ramai yang sanggup melaksanakan had terhadap kuasa sendiri.

Katanya, jika had 10 tahun dilaksanakan, tempoh perkhidmatan seseorang Perdana Menteri akan dikira berdasarkan jumlah keseluruhan tahun memegang jawatan, termasuk jika kembali menjadi Perdana Menteri selepas kalah dalam pilihan raya.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar dipuji kerana bersedia mengehadkan tempoh jawatannya sendiri.

“Sebagai contoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah menjadi Perdana Menteri selama dua tahun masih mempunyai baki lapan tahun manakala Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memegang jawatan selama setahun mempunyai baki sembilan tahun lagi.

“Negeri (had tempoh jawatan Menteri Besar) tak minat. Sebab negeri ini, terutamanya pada satu parti ini, dia merasakan kalau Allah kata anda jadi Perdana Menteri sampai kiamat, maka sampai kiamatlah dia jadi Perdana Menteri.

“Sesetengah mereka merasakan kuasa ini tak patut dihalang. Kalau boleh, dia patut meninggal dalam jawatan. Sebahagian daripada mereka berfikir begitu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan mengenai kesan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun terhadap pentadbiran negeri.

Soalan itu dikemukakan semasa Sesi Perjumpaan Awam (townhall) Kerangka Akauntabiliti Madani di Akademi Perundangan Negara (APN) di Bandar Baru Bangi, di sini hari ini.

Azalina menegaskan, kerajaan ketika ini percaya kuasa perlu dihadkan kerana amalan pertukaran kepemimpinan dianggap lebih sihat dan baik untuk pentadbiran.

Untuk rekod, RUU berkenaan akan dibentangkan semula semasa persidangan Dewan Rakyat Jun ini, selepas cubaan sebelum ini hanya mendapat 146 undi, kurang dua daripada 148 undi diperlukan untuk mencapai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Pindaan tersebut merupakan sebahagian agenda reformasi institusi yang memberi manfaat kepada sistem demokrasi negara dalam jangka panjang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN