KUALA LUMPUR: Setiap syarikat pemegang sijil Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu diwajibkan mempunyai eksekutif halal sepenuh masa dan berjawatan tetap bagi memastikan pematuhan syariah dalam operasi harian mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu sebagai sebahagian daripada sistem pencegahan awal bagi mengelak isu atau pelanggaran status halal.
“Mengenai isu halal, saya bersetuju kita perlu sistem pencegahan yang lebih awal. Setiap syarikat pemegang sijil halal Jakim diwajibkan mempunyai eksekutif halal sepenuh masa dan perjawatan tetap.
“Mereka mempunyai kelulusan daripada institusi pendidikan tinggi dan mereka mesti memantau perkara pematuhan halal dalam operasi harian syarikat tersebut,” katanya pada penutupan Musyawarah Nasional Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya? di ibu negara, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mencadangkan pengenalan fungsi juruaudit halal yang bertanggungjawab menyemak setiap aspek pemasaran syarikat.
“Kita perlu memperkenalkan fungsi Halal Auditor bagi menyemak iklan, pembungkusan, menu, platform digital dan bahan pemasaran.
“Ini supaya istilah seperti ‘Muslim Friendly’, ‘No Pork’, ‘No Lard’ tidak lagi mengelirukan umat Islam,” katanya. – UTUSAN










