BACHOK: Polis menahan dua individu yang memiliki rekod dadah bagi membantu siasatan bersabit kes pembunuhan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati dekat sini, bulan lalu.
Kedua-dua lelaki itu ditahan dalam serbuan berasingan pada pukul 1 dan 3 pagi inindi Kubang Kerian serta Kota Bharu.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek berusia 25 tahun itu dipercayai rakan kepada mangsa, Muhammad Zakir Fikry Mohd. Zainal, 20.
“Salah seorang suspek bekerja sebagai peniaga pakaian manakala seorang lagi adalah penganggur.
“Kedua-dua lelaki itu mempunyai rekod dadah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohamad Ismail berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan reman enam hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, dua lelaki ditahan reman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati, Bachok bulan lalu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 25 tahun itu dikeluarkan Majistret Fakhrul Razzi Abd. Hamid di Mahkamah Majistret Bachok. – UTUSAN










