Perkenal Enakmen Kerajaan Desa

Perkenal Enakmen Kerajaan Desa

SALLEH SAID KERUAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu Enakmen Kerajaan Desa perlu diperkenalkan serta diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri agar ia diiktiraf secara rasmi sebagai peringkat pentadbiran keempat dengan kuasa dan tanggungjawab yang lebih jelas.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, perundangan yang jelas akan memberikan kuasa, akauntabiliti dan kesinambungan kepada pentadbiran kampung.

Kata beliau, ia juga memastikan institusi kampung terus berfungsi secara berkesan walaupun berlaku perubahan politik.

“Cadangan saya ialah supaya Kerajaan Desa diiktiraf secara rasmi sebagai peringkat pentadbiran keempat dengan kuasa dan tanggungjawab yang lebih jelas.

“Saya juga mencadangkan supaya satu Enakmen Kerajaan Desa diperkenalkan dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri, dan bukan sekadar bergantung kepada aturan pentadbiran atau pelantikan politik semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan keputusan Tamparuli mengadakan pilihan raya kampung secara serentak melibatkan 94 kampung yang bukan sahaja mencipta rekod baharu.

Pilihan raya itu turut mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat bahawa tadbir urus di peringkat akar umbi perlu dilaksanakan secara lebih tersusun, inklusif dan bertanggungjawab. 

Tambah Salleh Said, satu komponen penting dalam cadangan ini ialah pilihan raya kampung. 

“Pemimpin yang dipilih secara langsung oleh penduduk akan mempunyai mandat yang lebih kukuh dan lebih bertanggungjawab kepada komuniti, bukan hanya kepada kepentingan politik tertentu.

“Pengalaman di Tamparuli membuktikan bahawa pilihan raya di peringkat kampung adalah sesuatu yang praktikal dan boleh dilaksanakan. Malah, ia mampu memperkukuhkan kerjasama, penyertaan masyarakat dan kematangan demokrasi di peringkat akar umbi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN