Penyakit Parkinson berpunca daripada kerosakan atau kematian sel saraf di bahagian otak yang mengurangkan pengeluaran dopamin iaitu bahan kimia penting untuk pergerakan tubuh yang lancar.
Gejala Parkinson adalah progresif, bermula dengan tangan atau jari bergetar ketika berehat, pergerakan yang perlahan, otot yang kejang dan menyakitkan dan masalah keseimbangan badan. Petanda awal seperti kemerosotan deria bau, tulisan tangan yang mengecil dan pertuturan yang perlahan.
Punca utama mengapa Parkinson berlaku belum diketahui. Namun ia berkait rapat dengan gabungan faktor genetik, usia lanjut dan persekitaran. Parkinson bukan sekadar sebahagian daripada proses penuaan. Ia penyakit neurodegeneratif kedua paling lazim di dunia dan kesannya dijangka meningkat ketara dalam beberapa dekad akan datang.
Di Malaysia, kes dijangka meningkat lima kali ganda menjelang tahun 2040 daripada anggaran 20,000 kes pada 2018, sekali gus menunjukkan keperluan untuk kesedaran lebih tinggi, diagnosis awal dan penjagaan tepat pada masanya.
Pakar Perunding Neurologi dan Perubatan, Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Dr. Phua Chun Seng berkata, Parkinson bukan sekadar keadaan tubuh bergetar. Ia keadaan yang menjejaskan cara seseorang itu bergerak, berfikir dan berfungsi dalam kehidupan seharian.

“Walaupun keadaan tubuh bergetar itu adalah tanda yang boleh dikenali, tidak semua pesakit menghadapi keadaan ini. Keadaan berkenaan ditakrifkan oleh gejala motor seperti kekejangan otot dan pergerakan perlahan dan sering bermula pada satu sisi tubuh.
“Apabila penyakit ini berkembang, gejala mula mengganggu tugasan harian seperti berjalan atau berpakaian manakala peringkat selanjutnya mungkin membabitkan masalah keseimbangan atau risiko jatuh. Parkinson juga boleh menjejaskan kesejahteraan mental, dengan gejala seperti keletihan, kebimbangan, kurang mood dan kesukaran memberi tumpuan,” katanya.
Katanya lagi, pesakit digalakkan untuk mendapatkan rawatan perubatan sekiranya gejala berterusan atau berubah dari semasa ke semasa. Penilaian awal membolehkan diagnosis yang lebih tepat dan pengurusan keadaan ini tepat pada masanya.
“Walaupun ubat-ubatan kekal sebagai rawatan utama khususnya di peringkat awal, pengurusan penyakit Parkinson jarang dapat dilakukan dengan mudah. Dari semasa ke semasa, ramai pesakit mula mengalami turun naik daripada segi keberkesanan ubat mereka.
“Salah satu pilihan adalah Deep Brain Stimulation (DBS) iaitu terapi lanjutan yang menggunakan rangsangan elektrik terkawal ke bahagian tertentu pada otak yang terlibat dalam pergerakan. Tidak seperti teknik pembedahan terdahulu, ia tidak memusnahkan tisu otak dan tetapannya boleh dilaraskan atau diterbalikkan dari semasa ke semasa, sekali gus membolehkan rawatan ini disesuaikan mengikut perubahan gejala,” katanya.
Terapi ini boleh dipertimbangkan untuk yang mengalami gejala motor yang turun naik dengan ketara walaupun mengambil ubatan, namun masih memberikan tindak balas yang baik kepada ubatan utama yang digunakan untuk merawat gejala Parkinson.
Pemilihan pesakit sememangnya penting, dengan faktor seperti kesihatan keseluruhan, fungsi kognitif dan umur yang dipertimbangkan dengan teliti. Bagi pesakit yang sesuai, DBS mampu mengubah kehidupan.
Pesakit secara amnya dianggap lebih sesuai untuk menjalani DBS pada usia yang lebih muda iaitu di bawah 70 tahun, memandangkan hasilnya cenderung lebih konsisten, walaupun kesesuaian akhirnya bergantung kepada kesihatan keseluruhan, fungsi kognitif dan tindak balas kepada ubat-ubatan.
Dr. Phua mengimbas kembali kisah seorang pesakit lelaki dalam lingkungan usia lewat 50-an yang menghidap penyakit Parkinson lebih daripada sedekad lamanya. Aktiviti harian, seperti berpakaian dan makan, menjadi semakin sukar, manakala gejala gegaran menjadikan tugasan mudah seperti menulis atau mengendalikan objek hampir mustahil dilakukan.
“Selepas menjalani DBS, dia mampu berdikari semula dalam pelbagai aspek kehidupannya. Dia boleh makan dan memakai pakaian sendiri, kembali berkebun dan menikmati tidur yang lebih baik. Ia memberikan perbezaan bermakna daripada segi keyakinan dan kualiti kehidupannya,” katanya.
Pembedahan otak menakutkan
Perunding Pakar Bedah Saraf, (SJMC), Dr. Kalai Arasu Muthusamy @ Dr. Kamal Azrin Abdullah (Dr. Kalai), berkongsi pandangan mengenai perjalanan pesakit dalam pengurusan penyakit Parkinson dan peranan rangsangan otak dalam DBS dalam meningkatkan kualiti kehidupan pesakit yang sesuai. Meskipun bermanfaat, pembedahan otak boleh menakutkan ramai pesakit. Kebimbangan mengenai keselamatan, risiko dan kesan jangka panjang sering menimbulkan keraguan.

“Pendekatan neurosurgikal moden direka untuk menjadi sangat tepat dan invasif minimum. Prosedur berkenaan biasanya membabitkan hirisan kecil kira-kira dua sentimeter dengan elektrod diletakkan di kawasan otak yang disasarkan dengan sangat tepat, berukuran hanya beberapa milimeter.
“Ia bertujuan menguruskan gejala, sambil membantu pesakit memperoleh semula kebebasan dan berfungsi dalam kehidupan seharian mereka. Penting bagi pesakit untuk memahami DBS bukanlah ubat. Ia tidak menghalang penyakit daripada merebak. Namun ia boleh mengurangkan gejala dengan ketara seperti getaran, kekakuan dan pergerakan yang perlahan,”katanya.
Tidak seperti pendekatan pembedahan terdahulu, DBS tidak merosakkan dan boleh diterbalikkan. Rangsangan berkenaan boleh dilaraskan dari semasa ke semasa, dan perantinya boleh dimatikan atau dikeluarkan jika perlu.
“Apabila dilaksanakan oleh pasukan berpengalaman, DBS dianggap sebagai prosedur yang selamat dan standard dengan risiko komplikasi yang rendah. Kadar kematian untuk pembedahan otak elektif di hospital terkemuka adalah kurang daripada satu peratus,” jelasnya.
Rawatan penyakit Parkinson sudah mengalami perkembangan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beralih daripada pendekatan invasif kepada kaedah penjagaan yang semakin diperhalusi dan mengikut keperluan pesakit.
“Kini, kemajuan teknologi perubatan telah mengubah cara penyakit ini diuruskan. Daripada bergantung kepada prosedur sekali sahaja yang merosakkan, kaedah moden ini kini memberi tumpuan kepada neuromodulasi serta strategi rawatan berasaskan ketepatan yang boleh disesuaikan mengikut keperluan pesakit dari semasa ke semasa,” katanya.-UTUSAN









