Serangan militan ragut 69 nyawa di Congo - Utusan Malaysia

Serangan militan ragut 69 nyawa di Congo

SEBUAH kenderaan pengaman Misi Penstabilan PBB di Congo melakukan rondaan di jalan Bunia-Drodro di wilayah Ituri. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KINSHASA: Sekurang-kurangnya 69 orang dilaporkan maut dalam satu serangan oleh kumpulan militan di wilayah Ituri yang terletak di timur laut Republik Demokratik Congo (DRC).

Wilayah yang kaya dengan hasil emas dan bersempadan dengan Uganda itu sememangnya sering dilanda konflik berdarah selama bertahun-tahun.

Kejadian yang berlaku pada penghujung April itu didakwa dilakukan oleh lelaki bersenjata yang dikaitkan dengan militan Codeco. 

Kehadiran militan-militan Codeco yang masih berterusan di zon tersebut menyebabkan usaha membawa keluar mayat-mayat mangsa tergendala selama beberapa hari atas faktor keselamatan.

Sumber keselamatan menganggarkan angka korban seramai 69 orang. Namun, seorang pegawai perlindungan awam tempatan, Dieudonne Losa, memaklumkan kepada AFP bahawa jumlah kematian sebenar melebihi 70 orang.

Codeco mendakwa ia memperjuangkan hak komuniti petani Lendu, terutamanya bagi menentang komuniti penternak Hema. Tentera Congo dilaporkan kadangkala menggunakan Codeco sebagai pasukan bantuan.

Selain Codeco, terdapat kumpulan Konvensyen Untuk Revolusi Rakyat (CRP) yang memperjuangkan komuniti Hema dan Pasukan Demokratik Bersekutu (ADF) juga telah berikrar setia kepada kumpulan Daesh.

Pada Khamis, sumber tempatan melaporkan bahawa anggota-anggota ADF telah membunuh sekurang-kurangnya 36 orang dalam serangan selama dua hari di Ituri dan Kivu Utara. Sejak 2021, tentera Uganda telah dikerahkan bersama tentera Congo untuk memerangi kumpulan ADF.

Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di DRC (MONUSCO) telah memberi amaran mengenai gelombang serangan maut terbaharu yang menyasarkan orang awam di wilayah Ituri, Kivu Utara dan Kivu Selatan

Kawasan timur DRC yang kaya dengan mineral telah dibelenggu konflik selama tiga dekad yang melibatkan pelbagai kumpulan bersenjata, militan dan pasukan tentera. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×