KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Musyawarah Nasional didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menghimpunkan seluruh tokoh Melayu-Islam.
Ahmad Zahid yang juga pengasas Musyawarah Nasional berkata, gerakan itu perlu menjadi wadah bersama yang bersifat inklusif dan berterusan demi memperjuangkan agenda Melayu, Islam dan perpaduan negara secara lebih tersusun.
Menurutnya, perkara itu bagi memastikan himpunan itu tidak dimonopoli mana-mana parti politik, kelompok mahupun individu tertentu.
“Setiausaha tetap Musyawarah Nasional hendaklah segera mengambil tindakan untuk mendaftarkan Musyawarah Nasional sebagai sebuah NGO di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
“Jangan ditubuhkan sebagai gabungan parti politik, tetapi sebuah NGO yang menggabungkan fikrah seluruh kaum Melayu-Islam di negara ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Musyawarah Nasional ‘Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya’ di ibu negara hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Musyawarah Nasional perlu menjadi milik semua pihak yang ikhlas menginginkan bangsa Melayu serta umat Islam di negara ini terus diperkasakan.
“Musyawarah Nasional ini bukan milik mana-mana individu, bukan juga milik mana-mana kelompok atau mana-mana politik dan ia mesti menjadi milik semua yang ikhlas.
“Mereka yang mahu melihat bangsa ini berdiri dengan lebih yakin, lebih bermaruah dan lebih tersusun untuk berjaya membangun bangsa di tanah air sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberi jaminan bahawa segala resolusi dan cadangan yang dibangkitkan dalam Musyawarah Nasional tidak akan dibiarkan menjadi retorik atau dokumen simpanan semata-mata, sebaliknya akan dipantau sehingga ke peringkat pelaksanaan.
“Saya tidak mahu resolusi hanya diserahkan kepada kementerian dan jabatan, kemudian dibakulkan begitu sahaja. Musyawarah Nasional menuntut tindakan susulan yang serius.
“Saya sendiri akan membawa cadangan-cadangan ini kepada Kabinet dan semua menteri Melayu-Islam dalam kerajaan perlu memainkan peranan untuk memastikan agenda ini dilaksanakan,” katanya.
Tambahnya, satu sekretariat tetap di bawah Musyawarah Nasional juga akan diwujudkan bagi memantau pelaksanaan semua cadangan yang dikemukakan selain memastikan lima teras utama kepentingan Melayu iaitu agama, politik, ekonomi, pendidikan dan sosial dibincangkan secara berkala.
Katanya, pengerusi bagi setiap teras yang dibentangkan dalam musyawarah itu juga akan dipertanggungjawabkan untuk mengadakan pertemuan susulan sekurang-kurangnya setiap dua bulan bagi memperincikan pelaksanaan agenda berkaitan Melayu, Islam dan perpaduan nasional.
Sementara itu, beliau berkata, pengukuhan agenda Melayu dan Bumiputera tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada kaum lain selagi ia berpaksikan Perlembagaan Persekutuan serta menghormati hak semua rakyat.
“Bangsa teras yang stabil adalah asas kepada Malaysia yang stabil,” katanya. – UTUSAN










