Akhirnya gaji tertunggak empat bulan dibayar

Akhirnya gaji tertunggak empat bulan dibayar

PROTES di Putrajaya pada 29 Mac lalu bertujuan menggesa campur tangan kerajaan bagi menjelaskan semua tunggakan gaji pekerja pembersihan di Sabak Bernam, Selangor. – IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PEKERJA-PEKERJA pembersihan sekolah di Sabak Bernam, Selangor yang mengadakan protes baru-baru ini akhirnya mendapat bayaran gaji mereka yang tertunggak selama empat bulan.

Sebanyak 53 pekerja pembersihan di 19 sekolah di sekitar Sabak Bernam mengalami masalah tidak dibayar gaji sejak November tahun lalu.

Mereka mengadakan protes di Putrajaya pada 29 Mac lalu untuk menggesa campur tangan kerajaan bagi menjelaskan semua tunggakan gaji dan menyenaraihitamkan tiga syarikat kontraktor yang gagal membayar pekerja tepat pada masanya setiap bulan.

Ketika protes terbabit, mereka telah mendapat pengesahan bertulis daripada kerajaan bahawa semua tunggakan gaji akan dibayar selewat-lewatnya pada 1 April lalu.

Janji itu ditepati apabila tiga syarikat kontraktor berkenaan menyelesaikan bayaran tunggakan gaji.

Ini merupakan satu kejayaan besar kepada pekerja-pekerja pembersihan sekolah yang berani memperjuangkan hak mereka sehingga turun berkampung di Putrajaya.

Bagaimanapun, terdapat aduan daripada pekerja terbabit tentang potongan gaji yang tidak sah.

Oleh itu, tuntutan terhadap potongan gaji yang tidak berasas ini akan dibawa ke Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Turut akan diteliti adalah aduan daripada pekerja tentang tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang masih belum diselesaikan oleh syarikat-syarikat terbabit.

Selain itu, pekerja-pekerja pembersihan sekolah di Sabak Bernam akan terus mendesak agar syarikat-syarikat yang bermasalah itu digantikan dengan kontraktor lain yang lebih layak dan mampu menjaga kebajikan pekerja.

Diucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan, dorongan, bantuan dan solidariti kepada pekerja-pekerja pembersihan sekolah di Sabak Bernam dalam usaha memperjuangkan hak mereka. – UTUSAN

JARINGAN PEKERJA KONTRAK KERAJAAN (JPKK), Petaling Jaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya