Gaji minimum RM3,000 perlu KDNK lima peratus

Gaji minimum RM3,000 perlu KDNK lima peratus

MALAYSIA perlu mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga lima peratus setahun bagi menyokong sasaran gaji minimum RM3,000 menjelang 2030. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga lima peratus setahun bagi menyokong sasaran gaji minimum RM3,000 menjelang 2030.

Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, pertumbuhan tersebut perlu dicapai secara konsisten bagi memastikan peningkatan gaji dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan keseimbangan ekonomi.

Katanya, kenaikan gaji yang mampan tidak boleh bergantung kepada dasar semata-mata, sebaliknya perlu disokong oleh pertumbuhan ekonomi sebenar dan nilai tambah pekerja.

“Untuk menyokong sasaran gaji minimum sekitar RM3,000 menjelang 2030, Malaysia secara asasnya memerlukan pertumbuhan KDNK yang konsisten sekitar empat peratus hingga lima peratus setahun selari dengan peningkatan produktiviti buruh.

“Jika pertumbuhan terlalu rendah, kenaikan gaji berisiko menekan kos perniagaan dan mengurangkan peluang pekerjaan, manakala pertumbuhan yang stabil membolehkan peningkatan gaji berlaku secara lebih seimbang dan berdaya tahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Malaysia menyasarkan gaji minimum RM3,000 sebulan menjelang 2030 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai langkah pembaharuan pasaran buruh.

Setakat 2024, Khazanah telah menetapkan gaji minimum RM3,000 untuk pekerjanya dan sektor swasta digesa mencontohi langkah ini untuk mencapai sasaran tersebut.

Mengulas usaha mencapai sasaran gaji minimum RM3,000, Mohamad Idham berkata, kerajaan dan sektor swasta perlu bergerak seiring dalam meningkatkan produktiviti, kemahiran serta struktur ekonomi.

Katanya, langkah itu termasuk memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), menarik pelaburan bernilai tinggi serta mempercepat digitalisasi dan automasi.

“Pada masa sama, sektor swasta perlu beralih kepada model perniagaan yang lebih berintensifkan teknologi dan inovasi, bukan lagi bergantung kepada tenaga kerja kos rendah.

“Peningkatan gaji juga perlu disokong oleh peningkatan kecekapan dan output pekerja supaya ia tidak menjejaskan daya saing syarikat dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata, cabaran utama bagi mencapai sasaran tersebut melibatkan jurang produktiviti, struktur pasaran buruh serta kemampuan majikan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, banyak sektor masih bergantung kepada pekerja berkemahiran rendah dan model kos murah sehingga menyukarkan peralihan kepada gaji lebih tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN