Perlis ‘Dubai kedua’ bukan bermaksud deretan bangunan pencakar langit

Perlis ‘Dubai kedua’ bukan bermaksud deretan bangunan pencakar langit

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Gelaran Perlis ‘Dubai Kedua’ bukan bermaksud negeri ini mahu dibangunkan dengan deretan bangunan pencakar langit.

Sebaliknya ia lebih kepada inisiatif penjenamaan dan pemasaran yang disasarkan untuk menjadikan Perlis sebagai pusat perdagangan serta hab pemasaran antarabangsa.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, banyak pihak yang salah faham dan mempolitikkan titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkaitan perkara itu.

Katanya, maksud Raja Perlis adalah kaedah konsep perdagangan seperti Dubai yang cuba dan perlu diterapkan oleh Perlis.

“Banyak pihak yang salah faham dan mempolitikkan isu ini kononnya Perlis diiktiraf macam Dubai daripada segi pembangunan bangunan pencakar langit, ia bukan begitu.

“Maksud Tuanku (Raja Perlis) kaedah pemasaran di mana kita ambil barang daripada tempat lain, guna dan pasarkan. 

“Konsep perdagangan seperti di Dubai yang cuba diterapkan. Contohnya seperti penganjuran program pemasaran antarabangsa yang diadakan di Perlis baru-baru ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi libat urus Banci Ekonomi 2026 di sini..

Sebelum ini, Tuanku Syed Sirajuddin menzahirkan keyakinan Perlis mampu muncul sebagai ‘Dubai Kedua’ iaitu pintu gerbang terbuka kepada negara Asia Tenggara berikutan kedudukannya yang strategik bersempadan Thailand.

Baginda bertitah, negeri ini mampu berkembang sebagai pusat dagang, inovasi dan pusat pertemuan ekonomi serantau dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Dalam perkembangan lain, Abu Bakar berkata, kerajaan negeri akan menubuhkan Jawatankuasa Peneraju Transformasi dan Pemantauan Negeri Perlis bagi merangka secara holistik hala tuju pembangunan negeri.

Katanya, jawatankuasa itu memfokuskan kepada bidang ekonomi, pelaburan, pendidikan, agama dan pelancongan membabitkan pelan jangka pendek, pertengahan dan panjang melangkaui sehingga ke tahun 2040. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN